Conte cabar “sokong atau pecat saya”

Oleh Shaukei Kahar 21 May 2018 1706
Conte cabar “sokong atau pecat saya”
Jose Mourinho berkata Chelsea tidak berhak menjuarai Piala FA. Namun, apa yang tidak dikatakannya ialah jika Chelsea tidak berhak, Manchester United kendaliannya lagilah tidak layak.

Di sebalik sindiran Mourinho itu – seorang yang selama ini dikenali tidak boleh menerima kekalahan – musuh ketatnya, Antonio Conte, kekal seorang yang sangat popular dalam kalangan penyokong Chelsea.

Namanya dilaung-laungkan ketika dia menyertai pemain-pemainnya memanjat anak-anak tangga di Wembley dalam perjalanan untuk menjulang Piala FA, awal pagi semalam.

Harus kejayaan seumpamanya mencukupi untuk kebanyakan pengurus lain mendapat talian hayat untuk kekal sekurang-kurangnya semusim lagi – tetapi tidak buat Conte.

Ketika sorak-sorai dan pesta keraiannya beransur reda nanti, ia kelihatan sesuatu yang tidak dapat dielakkan untuk pengurus  berbangsa Itali itu angkat kaki jua akhirnya.

Sesungguhnya musim yang baru berakhir buat Conte dan Chelsea dicemari pelbagai rasa meradang dan ketidakpuasan hati, dengan pengurus berusia 48 tahun itu kerap dilihat tidak gembira dan mengasingkan diri daripada pemain-pemainnya.

Dia sekadar memperjelaskan pendiriannya di Wembley bahawa dia tidak akan mengubahsuai stail pengurusannya pada ketika sejarah akan mengingatkan kita bahawa hierarki Chelsea tidak akan pernah tunduk kepada kemahuan pengurusnya.

Conte bertegas: “Untuk menang dengan cara ini, musim ini, ia memberikan saya lebih kepuasan daripada kejayaan-kejayaan saya pada masa lalu.

“Kelab ini sangat mengenali saya. Jika mereka mahu terus bekerja dengan saya, mereka kenal sifat-sifat saya. Saya tidak akan berubah.

“Masa lalu saya sangat jelas sebagai seorang pemain dan juga pengurus. Anda boleh memberitahu apa yang anda mahu tapi saya adalah seorang pemenang bersiri.

“Saya telah menunjukkan ini di England, ketika detik-detik sukar buat kelab ini, dengan memenangi kejuaraan Liga Perdana daripada tempat ke-10 sebelumnya.

“Saya juga telah menunjukkannya hari ini, dalam final Piala FA, kerana kami telah menemui cara yang betul untuk memenangi trofi ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan akhir itu.

Ia mungkin tidak sampai ke tahap dia memberikan kata dua “sokong saya atau pecat saya” tetapi maksudnya harus tidak jauh daripada itu.

Dalam menegakkan ciri-cirinya sebagai seorang pemenang yang tidak harus tunduk kepada sesiapa, Conte juga sebenarnya menyerlahkan keyakinan bahawa dia akan terus menjadi buruan kelab-kelab besar – baik Chelsea atau yang setaraf dengannya.

(BERSAMBUNG) 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen