Cikgu Wan Rahim tolong selesai isu gaji pemain

Oleh 6 July 2019 16442
Cikgu Wan Rahim tolong selesai isu gaji pemain
Oleh Farizal Yusoff

Keluar dari sidang media lewat malam tadi, rasa agak pelik. Biar betul, Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, bercakap soal pemainnya yang sudah dua bulan lebih tidak menerima gaji. Macam tak percaya.


Selalunya, Yusri cukup berahsia dalam isu ini. Dia tidak mudah bercakap tentang gaji biarpun diasak oleh media. 

Mungkin dia tidak tahan melihat rayuan pemainnya. Atau, dia mahu menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang baru selesai memilih presiden baru untuk mengatasi kemelut yang makin rumit ini.

Ayat yang keluar daripada mulut Yusri cukup menghibakan. Pada awalnya, dia memuji aksi seluruh anak buahnya yang berjaya mengatasi cabaran Selangor United 2-0 malam tadi. Namun, selepas itu dia mahu KAFA buat sesuatu supaya tidak 'bunuh' prestasi dan semangat pemain muda Kelantan.

"Saya perlu membela pemain yang beraksi malam ini (tadi) yang gaji mereka tertunggak hampir dua bulan setengah. Namun, mereka bermain seolah-olah gaji dibayar setiap bulan tanpa sebarang masalah," katanya.

Awal tahun ini, bekas presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan, dengan bangganya mengumumkan dasar penswastaan KAFA bersama Syarikat MyInspiration Sdn Bhd untuk memberi nafas baru dalam pengurusan bola sepak Kelantan yang lebih profesional.

Maka lahirlah Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd. (KRW) dan melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fazli Mohammad, mereka yakin Kelantan akan kembali menjadi kuasa bola sepak tanah air dengan menjadikan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai panduan untuk kembali mengorak langkah pertama.

Langit tidak selalu cerah. Video yang memaparkan keceriaan wajah pemain Kelantan menerima cek (gaji) daripada KRW sebelum aksi pertama Liga Super menentang Selangor United tidak berpanjangan.

Riak gembira Bibi Ramjani, yang mengumumkan pemain Kelantan tidak lagi berdepan isu gaji, kemudian menjadi lawak di kedai kopi.

Konflik mula menimpa. Myinspiration yang menguasai 70 peratus saham KRW tarik diri dengan alasan Bibi Ramjani tidak profesional. Alasan duit hasil kutipan tiket, tandatangan buku cek dan kerenah birokrasi menyebabkan ikatan itu terlerai.

Kebajikan pemain mula terabai. Desas-desus gaji pemain tidak dibayar mula berkumandang. Timbul pula idea Ketua Kelab Penyokong KAFA, Syed Abdullah Syed Mahmood, yang mahu memastikan hasil kutipan tiket perlawanan digunakan untuk membayar gaji pemain The Red Warriors (TRW).

Malangnya, peminat sudah muak dengan pelbagai drama dalam KAFA. Kehadiran peminat setia merosot dan Stadium Sultan Muhammad IV seakan-akan meratapi nasib malang Pahlawan Merah.

Semalam, dalam bilik 'pengadilan' untuk jurulatih meluahkan pandangan mengenai permainan, Yusri memilih untuk membela jiwa pemainnya. Dia mahu barisan baru KAFA, terutama presiden baru, menyelesaikan isu gaji ini dengan segera.

Ada tiga aksi lagi sebelum Liga Perdana melabuhkan tirai tahun ini. PDRM, Sabah dan UKM FC menjadi penghalang. 

Secara matematiknya, TRW sekadar layak beraksi dalam Piala Cabaran. Namun, janji Yusri dan pemainnya untuk memastikan Kelantan tidak tersingkir ke Liga M3 perlu dibantu. 

Hari ini, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Wan Rahim dipilih sebagai presiden baru bagi sesi 2019/2023 dalam Kongres Agung Luar Biasa (EGM) KAFA.

Mohon Cikgu Wan Rahim selesaikan 'rayuan' Yusri Che Lah ini!

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen