China ‘simpan kuku’ ke Piala Dunia 2018?

Oleh Mirnawan Nawawi 25 October 2018 8934
China ‘simpan kuku’ ke Piala Dunia 2018?
Pentas Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India cuma tinggal sebulan lebih sahaja lagi sebelum saingannya membuka tirai dari 28 November hingga 16 Disember ini.

Rata-rata pasukan yang layak bertanding pada kejohanan berprestij tersebut sedang giat melakukan persediaan akhir termasuk skuad hoki negara yang menghadapi kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Muscat, Oman ketika ini.

Selain Malaysia, India dan Pakistan yang layak ke Piala Dunia 2018 juga bersaing dalam kejohanan ini tetapi dimanakah China?

Sedar atau tidak, China adalah pasukan ke-15 daripada 16 negara yang layak ke pentas Piala Dunia 2018 selepas meraih tempat kelapan iaitu slot automatik terakhir sewaktu Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London pada Julai tahun lalu.

Seperti ada yang tidak kena dengan pasukan ranking ke-17 dunia ini dan menjadi tanda tanya kepada para peminat hoki kerana China sudah dua kali tidak membabitkan diri dalam kejohanan di rantau Asia.

China memilih untuk tidak bertanding pada Sukan Asia 2018 di Indonesia dan ACT 2018 yang sedang berlangsung berbanding negara-negara Asia lain. 

Kebiasaannya gergasi-gergasi Asia akan menjadikan Sukan Asia dan ACT sebagai salah satu persiapan kerana setiap negara selalunya memerlukan 25 atau 30 perlawanan sebelum berentap pada kejohanan berpresti seperti Piala Dunia.

Apakah ia adalah satu helah daripada China yang mahu mengamalkan taktik ‘simpan kuku’ sebelum bermulanya Piala Dunia 2018?

China berdepan tugas sukar pada Piala Dunia 2018 nanti kerana diundi dalam saingan sukar Kumpulan B terdiri daripada pasukan No. 1 dunia, Australia, England (No. 7 dunia) dan Ireland (No. 10 dunia).

Berdasarkan kajian, saya mendapati China baru melakukan satu persiapan tahun ini iaitu lima siri perlawanan persahabatan dengan Kanada di West Vancouver pada Julai lalu.

Mereka cuma mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan dengan membariskan majoriti muka-muka baharu, rata-ratanya di awal usia 20-an.

Besar kemungkinan ia strategi China untuk menguji kemampuan barisan pemainnya atau juga mungkin mempunyai masalah dalaman kerana mereka turut menyenaraikan ketua jurulatih baharu sewaktu siri jelajah di Kanada itu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen