Cerita 'royal box' Wimbledon

Oleh Suzana Basri 13 July 2019 733
Cerita 'royal box' Wimbledon
Unbelievable” hanya ucapan seringkas itu mampu diucapkan David Beckham yang jelas terpukau dengan pertarungan epik ke-40 bagi dua ikon tenis dunia, Roger Federer dan Rafael Nadal di separuh akhir kejohanan Wimbledon yang berkesudahan jagoan Switzerland itu singkirkan bintang Sepanyol 7-6, 1-6, 6-3, 6-4.

Bekas kapten pasukan kebangsaan England dan pemain Manchester United ini antara penonton yang berada di dalam ‘royal box’ - bahagian yang menawarkan keseronokkan paling hebat bagi mereka yang menyaksikan pertarungan di Centre Court - selain Sir Alex Ferguson, legenda tenis, Rod Laver dan selebriti, Jude Law.

Seperti gelanggang yang seringkali dihiasi drama dan kontroversi, ‘royal box’ juga tidak terkecuali dari mencuri tumpuan dan perhatian lensa paparazzi. Namun kali ini, lensa telefon pintar Beckham mencetus sensasi apabila gambar yang dimuat naik di laman sosial peribadinya secara tidak sengaja turut merakam kehadiran golongan diraja seperti Duchess of Cambridge, Kate Middleton.



Ya, peranan ‘royal box’ juga menjaga privasi para penontonnya - hanya yang menerima jemputan khas sahaja dibenarkan berada disini dan kebiasaannya tetamu terdiri daripada golongan elit, ahli keluarga dan kenalan rapat pemain. Namun kehadiran Kate tidak mengejutkan kerana isteri kepada Putera Williams ini adalah ahli kelab tenis Wimbledon.

Berbeza dengan kunjungan seorang lagi ahli keluarga diraja Britain, Duchess of Sussex, Meghan Markle yang juga sahabat kepada pemegang 23 gelaran Grand Slam, Serena Williams. Minggu lalu, Meghan mencetus kontroversi apabila membuat kejutan ke Wimbledon yang menyaksikan para penyokong yang duduk berhampiran dengannya tidak dibenarkan mengambil gambar bersama isteri Putera Harry itu.

Penampilan Meghan dengan jeans turut menerima kecaman kerana ia jelas melanggar tradisi dan kod pemakaian dimana bagi ‘royal box’ tetamu perlu mengenakan gaun atau jaket dan tali leher. 

Bagaimanapun ada pandangan menyatakan Meghan yang terkenal dengan ‘breaking traditions’ mungkin sengaja berpakaian ‘semi-formal’ atau sememangnya tidak meniat untuk menyertai golongan elit lain.

Apa pun alasannya, Meghan pastinya perlu mengenakan gaun terbaik untuk menjadi saksi kebangkitan Serena, kembali meraih kejuaraan selepas 2 tahun 6 bulan menentang bintang Romania, Simona Halep di final Wimbledon pada Sabtu. Ramai juga yang berharap Beckham lebih banyak menghadirkan diri ke majlis-majlis seperti ini kerana nampak comel betul suami kepada ikon fesyen, Victoria Beckham ini mengenakan suit coklat muda sambil melayan ibunya menonton tenis.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen