Cerita Chelsea, badi dan perlunya Liverpool

Oleh Suzana Basri 13 May 2018 8910
Cerita Chelsea, badi dan perlunya Liverpool

Benarkah kebelakangan ini pasukan yang menjuarai Liga Perdana Inggeris akan dihantui badi kemerosotan pada musim berikutnya?

Jika benar, mengapa pemburuan kejuaraan tetap berkelangsungan sehingga ke hari ini?

Di atas kertas, Manchester United merupakan pasukan terakhir yang berjaya mempertahankan kejuaraan pada era moden. Catatan penamat direkodkan pada musim 2008/ 2009 yang juga hatrik kedua pasukan yang ketika itu dikendalikan Sir Alex Ferguson.

Menyentuh mengenai prestasi juara musim lalu, Chelsea, benar mereka pernah mempertahankan kejuaraan pada musim 2005/ 2006, tetapi sejak itu, 3 kejuaraan yang diraih memerlukan kebangkitan dari bawah.

Mungkinkah permulaan kepada kejayaan mereka selepas ini adalah dengan meraih simpati Liverpool?

Berbaki satu perlawanan musim ini, peluang Chelsea untuk menyertai saingan Liga Juara Juara Eropah bukan sahaja bergantung kepada kemenangan di laman Newcastle United, tetapi perlu mengharapkan Liverpool tewas kepada Brighton & Hove di Anfield, sesuatu yang mungkin sukar direalisasikan ketika anak buah Jurgen Klopp mahu mencetus semangat luar biasa para pemain menjelang final Liga Juara Juara Eropah hujung bulan ini.

Sekiranya the blues sekadar menamatkan musim ini ditangga kelima, skuad Antonio Conte masih lagi berpeluang merebut tempat ke Liga Juara Juara Eropah musim depan. Bagaimanapun peluang terakhir ini juga perlu melalui Liverpool menyaksikan Chelsea mungkin satu-satunya kelab inggeris yang mengharapkan Real Madrid tewas. Kejayaan Liverpool menjulang trofi Liga Juara Juara Eropah nanti berkemampuan membuka ruang buat Chelsea untuk mengisi slot yang ditinggalkan sang juara di saingan Liga Perdana.

Seperti pernah didengari bukan? Ini kerana jika ianya menjadi kenyataan, ia akan menjadi musim kedua berturut-turut 5 pasukan inggeris terbabit di saingan Liga Juara Juara selepas Manchester United mendapatkan tiket kelima dengan menjuarai Liga Eropah musim lalu.

Itulah yang menariknya tentang bola sepak. Bukan sahaja bola itu bulat dan sukar diramal, perjalanannya juga penuh drama dan kontroversi, tidak kira di atas padang mahupun perjuangan yang menentukan hala tuju saingan selepas ini.  Buat Chelsea, kalau tidak dapat ke Liga Juara Juara Eropah pun masih boleh mewakili kelab inggeris di saingan Liga Eropah. Siapa tahu, hikmah disebaliknya adalah kembali merajai Liga Perdana musim depan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen