Cepat 'ikat' Yusri, dia ada 'jiwa' Kelate

Oleh Farizal Yusoff 21 July 2019 8889
Cepat 'ikat' Yusri, dia ada 'jiwa' Kelate
Drama penuh emosi mewarnai sisa perjuangan pemain Kelantan dalam aksi akhir saingan Liga Perdana menentang UKM FC, malam tadi. Mereka wajib menang jika tidak mahu berdepan dengan masalah yang lebih besar termasuk tersingkir ke Liga M3 jika gagal dalam aksi playoff nanti.

Lebih mendebarkan, satu lagi pasukan yang penuh tradisi, Sarawak juga berdepan dengan 'hukuman yang sama'. Wajib menang ke atas ke atas Selangor United di Kuching dan dalam masa yang sama memanjat doa supaya TRW ditimpa bencana.

Selepas kalah 3-1 kepada PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, timbul kegelisahan dalam kalangan penyokong 'Gomo Kelate Gomo' skuad kesayangan mereka akan tersingkir ke liga yang lebih bawah. Sesuatu yang dianggap tidak masuk akal dulunya kini makin menjadi realiti.

Mampukah Yusri Che Lah menyelamatkan Kelantan sekali lagi sebagaimana 'magisnya' membantu TRW lolos ke saingan Piala Malaysia musim lepas apabila menumpaskan skuad Tok Gajah 2-1.

Yusri tetap Yusri. Pengendali kelahiran Perlis begitu  tenang dan sentiasa positif dengan kemampuan anak buahnya. Dia sentiasa melaungkan ungkapan 'Kelantan pasukan hebat dan tidak patut bermain dalam liga yang lebih bawah'.

Dia hadir di bumi Kelantan buat kali kedua selepas meletak jawatan sebagai Ketua jurulatih Kuala Lumpur. Dia mengambil tanggungjawab selepas skuad warga kota gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima aksi Liga Super musim ini. Dia juga mengerti cabaran kebih hebat menunggunya kerana Kelantan sekarang berada di dasar liga.

Dia terkejut sebaik sahaja bertemu dengan pemain Kelantan. Bingung kerana mereka tidak sebagaimana yang dilatihnya selepas Marko Karljevic melepaskan jawatan.

Aksi pertama TRW dibawahnya berakhir dengan kekalahan besar 2-5 kepada Negeri Sembilan dan Yusri mengugut mahu meninggalkan Kelantan jika pemain terus bermimpi dan lena dalam perjuangan.

"Sejujurnya, ini bukanlah pemain Kelantan yang saya kenal enam bulan lalu. Kalau beginilah corak permainan mereka, Kelantan tidak akan kemana-mana bahkan akan terus dihukum pada perlawanan akan datang.

"Kalau mereka (pemain) tidak boleh berubah lebih baik saya keluar (dari Kelantan). Terus terang saya cakap, sebab tidak nampak sebarang  perubahan. Kalau berterusan begini, buat apa menjahanamkan reputasi sendiri," kesalnya.

Biarpun 'ugutan' itu masih belum meresap dalam jiwa pemainnya namun dia yakin mampu melakukannya biarpun sekarang menumpang seorang awang import pinjaman dari Kelab Batu Dua FC, Sedyi L'Imam.

Masalah tunggakan gaji pemain menjadi barah yang mampu mematikan nyawa Pahlawan Merah secara perlahan-lahan sambil  Yusri kehilangan khidmat Flavio Beck Junior dan Cassio De Jesus. Dia juga merayu kepada pengurusan baru supaya terus menjadi kebajikan pemain. 

Malam tadi dalam bilik pengadilan, kami (media) bertanya rahsia magisnya dan kemampuan membimbing pemain muda yang hampir hilang motivasi untuk terus menyalakan api perjuangan.

Ada maruah yang perlu dipertahankan. Ada janji yang perlu ditunaikan. Yusri tidak jemu membakar semangat pemain mudanya kerana tahu merekalah 'ubi muda' terbaik dari ladang.

"Apa yang saya harapkan kepada pemain agar mereka bersikap jujur. Kita beri kepercayaan kepada mereka dan mereka adalah yang terbaik. Cumanya, kita kekurangan tenaga import untuk lebih berdaya saing musim ini.

"Tapi, apa yang mereka persembahkan saya tidak tahu tetapi peminat boleh terjemahkan. Cuma, aksi yang mereka tunjukkan menghiburkan peminat. Dan, kita boleh kemaskan lagi aksi ini jika memenuhkan kuota pemain import pada masa akan datang," luahnya.

Dalam nada gurauan, bekas pengendali Kuala Lumour dan Felcra FC itu menyatakan kesanggupan untuk terus membimbing skuad Kelantan pada musim akan datang. 

"Hari ini saya declare (nyatakan) mahu terus kekal di sini. Dulu saya tidak declare kerana harapkan mereka (pihak pengurusan) buat keputusan sama ada mahukan khidmat saya atau tidak. Tapi, malam ini saya buka perbincangan seterusnya kerana saya rasa ini (Kelantan) adalah rumah saya," kataya.

Malam yang cukup indah untuk Yusri Che Lah. Dia ada magis dan dia telah berikan segalanya. Sujud syukur di atas padang dan pemain berlari mengelilingi padang, beri sorakan gemuruh kepada lebih tiga ribu penyokong yang hadir.

Ayuh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Cikgu Wan Rahim Wan Abdullah. Ikat segera Yusri Che Lah sebelum pasukan lain  membuka cek untuk memikatnya. Dia ada magis dan dia ada jiwa Kelantan!

Cepat Cikgu Wan Rahim!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen