Cakap salah tak cakap salah...

Oleh Zainal Abidin Rawop 16 March 2019 5742
Cakap salah tak cakap salah...
Serba salah dibuatnya….apa yang diperkatakan oleh pengendali skuad bawah 19 tahun Negara Bojan Hodak ada kebenarannya.

Cuma yang salahnya, selaku petugas dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM, Hodak tidak seharusnya dan sewenang – wenangnya mengkritik program pembangunan bola sepak di Malaysia ini secara terbuka.

Kekalahan dan prestasi buruk di Piala Sanix di Fukuoka Jepun memang membuka mata dan amat membimbangkan lebih – lebih lagi pasukan yang dihantar berstatus “Pasukan Malaysia Bawah 18 Tahun” sedangkan lawan – lawan yang dihadapi pula bergelar pasukan Universiti, Kolej dan Sekolah Tinggi.

Namun jangan terpedaya! Dilaporkan pasukan – pasukan tersebut memiliki struktur pembangunan bola sepak yang tersusun.

Sememangnya maruah Negara menjadi taruhan ditambah dengan kesungguhan pihak penaja yang membiyayai perjalanan ke sana turut tidak mahu ditimpa aib menaja pasukan belasahan.

Jadi benarkah program akar umbi bola sepak Malaysia tidak berada di landasan yang betul? Atau Bojan Hodak bukan jurulatih yang sesuai untuk membimbing pasukan remaja Negara?

Umum memang mengetahui program akar umbi bola sepak Negara agak caca marba sedikit. Hampir kebanyakkan pasukan memilih terus membina bumbung berbanding tapak dahulu atau dalam kata mudah mencari ‘short cut to success’.

Bojan Hodak meluahkan ‘perasaannya’ mengikut perspektif beliau selaku jurulatih yang telah lama berkecimpung dalam bola sepak tempatan.

Saya ulangi, tidak semua pasukan/negeri yang bersikap demikian dan ada yang sudah menyedari akan kepentingan program akar umbi serta sanggup membuat pelaburan besar!

7 pemain yang dibawa Hodak adalah hasil dari program pembangunan bola sepak Negara (NFDP) yang dikendalikan Lim Teong Kim. Bermakna pemain – pemain tersebut pernah bermain di peringkat tertinggi iaitu Belia Asia Bawah 16 Tahun.

Manakala pemain – pemain lain, mungkinlah agak gugup pada penampilan pertama bermain di peringkat antarabangsa. Malah masa bermain mereka juga agak rendah memandangkan pertandingan belia di Malaysia juga baru bermula. Persiapan juga diakui agak singkat.

Bagaimanapun untuk melepaskan ‘geram’ menunding jari ke arah sistem yang dikatakan tidak betul adalah kurang wajar, lebih – lebih lagi ianya hadir dari seorang jurulatih asing yang digajikan untuk membantu meningkatkan bola sepak Negara.

Latar belakang ‘tokoh bola sepak’ Croatia itu mungkin dianggap berjayalah ketika bersama Kelantan ataupun JDT. Namun beliau yang mula mencipta nama di Malaysia bersama UPB MyTeam nyata gagal untuk menyelamatkan bola sepak Pulau Pinang.

Ada yang mengaitkan kejayaan beliau membimbing pasukan Bawah 19 Tahun Negara layak ke pusingan akhir Belia Asia di Indonesia 2018 kerana kehadiran orang kanannya Nenad Bacina. Malaysia muncul juara Bawah 19 Tahun AFF buat kali pertama di dalam sejarah tahun lalu, tetapi gagal pada pusingan akhir peringkat Asia selepas tewas kepada Arab Saudi dan China tetapi sekadar seri dua sama dengan Tajikistan.

Natijahnya banyak yang perlu diperbaiki andai mahu melihat bola sepak Malaysia berkembang maju seperti Jepun dan Korea. Pertandingan peringkat akar umbi maupun belia di Negara harus dipertingkat untuk melihat kelahiran lebih ramai pemain – pemain remaja berkualiti.

FAM pula harus menilai teguran itu dengan hati terbuka dengan turut bermuhasabah betapa masih banyak yang perlu dilakukan seiringi dengan aspirasi F30 anda. Sampaikanlah falsapah bola sepak negara kepada umum juga.

Akhirnya semua ini harus datang hasil usahasama semua pihak secara jujur dan ikhlas serta penuh kesabaran. 

Majulah bola sepak untuk negara

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen