Cabaran besar buat badminton lelaki di Bangkok...

Oleh Lukman Salleh 11 February 2018 3677
Cabaran besar buat badminton lelaki di Bangkok...
Malaysia berjaya tempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Thomas 2018 di Bangkok, Mei ini selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

Sekalipun berjaya capai sasaran tetapi ia dilaksanakan dengan penuh mendebarkan dan cara sukar serta ada ketikanya tampak misi ke Piala Thomas melalui slot automatik akan gagal selepas kekalahan 2-3 kepada Thailand dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan.

Tetapi anak buah Datuk Misbun Sidek dan Cheah Soon Kit bangkit dalam dua perlawanan berikutnya dengan membelasah pasukan kerdil Myanmar 5 kosong dan kemudian dalam pertarungan hidup mati mengejutkan Taiwan juga 5 kosong.

Di suku akhir, Malaysia membelasah Hong Kong 3 kosong sebelum tunduk 1-3 kepada barisan kedua China di separuh akhir, yang hadir tanpa dua perseorangan utama Chen Long dan Lin Dan serta beregunya Li Jinhui / Liu Yuchen & Liu Cheng / Zhang Nan. Bagi saya, China adalah pilihan utama untuk merampas kembali Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 2012.

Bagaimana pula peluang Malaysia? Pada pendapat saya barisan sedia ada belum cukup untuk menggengam Piala Thomas edisi 2018 ini. Banyak kekurangan dalam setiap bahagian permainan Malaysia termasuk perseorangan dan beregu. Saya lihat barisan pemain di Alor Setar tidak mempunyai kekuatan seimbang serta tidak konsisten dalam perlawanan mereka. Seperti biasa Datuk Lee Chong Wei terus diharapkan walaupun dia juga terpaksa memerah keringat sebelum meraih kemenangan.

Permainan yang ditunjukkan barisan beregu juga menimbulkan kebimbangan. Aksi Goh V Shem / Tan Wee Kiong tidak menentu manakala beregu kedua Teo Ee Yi / Ong Yew Sin tampak gemuruh hingga gagal menewaskan lawan yang berada di ranking lebih rendah daripada mereka.

Jika ada sinar daripada pasukan negara ialah pada pemain perseorangan kedua, Lee Zii Jia yang tampak bertenaga dan mempunyai potensi untuk meningkatkan prestasinya. Seandainya pada pusingan kelayakan Piala Thomas 2016, Iskandar Zulkarnain menonjolkan diri, di Alor Setar ia menjadi pentas buat Zii Jia mencuri tumpuan.

Tetapi skuad negara perlukan lebih daripada semangat dan sokongan penonton untuk memastikan mereka benar-benar bersedia untuk Bangkok nanti. Harus diingat, kita belum menguji kekuatan menentang Indonesia, Korea, Jepun dan pasukan dari Eropah. 

Memang banyak kerja yang perlu dilakukan barisan kejurulatihan. Mungkin juga perlu ada rombakan kepada barisan permainan seandainya ada pemain muda yang menunjukkan peningkatan dan wujudkan persaingan sihat sesama mereka.

Seperti yang saya tulis sebelum ini bahawa perlu ada perancangan rapi untuk persediaan Piala Thomas. Tetapi buat masa sekarang ia kembali kepada 'drawing board' buat barisan jurulatih negara dalam merencana kempen yang berjaya untuk Piala Thomas 2018.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen