Busut disangka bukit

Oleh Shaiful Shamsudin 30 September 2019 6290
Busut disangka bukit
Sebelum sepak mula, Liga Malaysia (Liga-M) sudah digegarkan dengan skandal pengurusan Perlis dan tiga perlawanan lagi menuju akhir kempen musim ini, isu hutang belum lagi reda.

Terbaru, pemain Melaka antara yang menjadi mangsa bayaran gaji tertungggak. Ada yang sudah dua bulan tidak menerima gaji dan ada pula lima bulan.

Selaku pemain senior dan ketua pasukan, Shukor Adan paling lantang menyuarakan isu berkenaan bagi tujuan mewakili rakan sepasukan yang lain.



Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan sudah menerima aduan daripada pemain skuad Liga Super itu berhubung masalah berkenaan.

"Kami ada mendapat aduan tidak rasmi daripada wakil pemain (senior) Melaka.

"Kami juga ada menerima aduan rasmi daripada pemain Piala Presiden dan aduan tidak rasmi daripada pemain Piala Belia Melaka," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail, seperti yang dipetik dalam laporan



Namun, pasukan dari selatan itu bukan satu-satunya yang dipalit masalah gaji pada ketika ini.

Kelantan, seperti yang kita sedia maklum, masih dibelenggu hutang lapuk dan meminta pemain-pemain agar bersabar supaya pergolakan itu tidak memburukkan lagi keadaan dalam usaha mereka menarik penaja.

Sarawak juga tidak lari daripada isu gaji dan memberi isyarat bersedia menggunakan talian hayat daripada Kerajaan Negeri.

"Liga hampir tamat, kami juga akan tutup kedai.

"Baru-baru ini kami mengadakan mesyuarat exco dan berbincang bagaimana untuk membayar gaji tertunggak untuk menghabiskan musim ini.

"Penyelesaiannya, kami akan meminta bantuan daripada Kerajaan Negeri," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Jefri Lana.

Sejak pelesenan kelab diperkenalkan pada 2017, saban tahun isu gaji sering menghiasi Liga-M sementara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah meletakkan syarat buat setiap pasukan agar menyerahkan surat isytihar bebas tunggakan gaji dan penyata kewangan selewat-lewatnya 15 Disember depan bagi mengelakkan pasukan mereka berdepan masalah musim depan.

Dalam masa sama, Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu (TFC), Felda United dan Petaling Jaya City FC, sah akan beraksi dalam Liga Super musim 2020 selepas melalui proses laporan tahunan kepada Badan Pelesenan Kelab FAM (FIB).

Sementara itu, tiga pasukan Liga Perdana yang terdiri daripada Negeri Sembilan, Sabah dan UITM FC telah berjaya melepasi proses berkenaan.

Namun, saya kira sedikit masa lagi, ada juga pemain-pemain daripada pasukan lain yang bakal menyusul mendedahkan isu gaji ini. Cuma kita tunggu sahajalah bilakah tuan punya badan sendiri akan bersuara.

Barangkali ketika ini mereka masih memberi peluang kepada pihak pengurusan untuk melunaskan janji.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen