Buruh kasar 32 tahun bertukar jadi pemain profesional 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 July 2019 34600
Buruh kasar 32 tahun bertukar jadi pemain profesional 
Bagi sebuah pasukan yang telah melalui musim memberangsangkan dan layak bersaing dalam Liga Europa, pasti mahu berbelanja besar sebagai proses pemantapan skuad. 

Getafe telah mengharungi antara musim paling cemerlang mereka dalam saingan LaLiga walaupun dinafikan slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim lalu. 

Sebagai skuad kerdil, mereka menamatkan saingan di tangga kelima, dibezakan dua mata dengan pencabar terdekat, Valencia, sebelum terpaksa akur dengan takdir itu pada hari terakhir perlawanan. 

Situasi itu membolehkan mereka mendapat duit runtuh menerusi agihan bonus ke saingan Liga Europa. 

Bagaimanapun, itu bukanlah bermakna mereka sedia berbelanja besar dan Enric Gallego meraih keuntungan terhadap polisi itu. 

Gallego tidak pernah bergelar pemain profesional sehinggalah pada usia 31 tahun, iaitu ketika menganggotai Huesca dalam saingan utama Sepanyol.



Sejak tiba Januari lalu, dia menyumbat lima gol dan sentuhan itu sudah memadai untuknya mengundang perhatian beberapa kelab ternama dan Getafe akhirnya mengambil langkah berani dengan mengeluarkan dana sebesar £5.3 juta (RM27.2j) demi mengesahkan khidmatnya. 

Dia pernah mewakili beberapa kelab kerdil tetapi sepanjang tempoh itu, dia perlu menampung minatnya itu dengan bekerja sebagai pemandu lori, tukang rumah dan pemasang penghawa dingin. 

Impiannya hanya menjadi kenyataan selepas 13 tahun berkecimpung dalam perlawanan amatur.

Laluannya meniti karier profesional hanya mula terhidang buatnya dua musim lalu apabila berpeluang menyerlahkan bakat dalam divisyen dua Sepanyol selepas diikat Extremadura UD. Dia menyumbat 25 gol dalam 33 aksi sehingga mencetuskan minat Huesca. 

Peluang paling hampir untuknya menjadi profesional sebenar berlaku pada kempen 2009 tetapi langkah itu tersekat apabila diturunkan ke skuad Espanyol B tidak lama kemudian. 

"Semua orang dalam bidang bola sepak profesional memandang tinggi usaha kerja keras. Tetapi atas apa yang saya telah lalui, mungkin saya lebih menghargainya," demikian antara petikan ucapannya ketika diperkenalkan dalam sidang media pada pertengahan minggu ini. 

Buat Gallego, dia pasti tidak akan menikmati karier yang panjang tetapi baginya, semua tuah ini tidak akan datang bergolek dan tegasnya, anda tidak seharusnya mudah menyerah kalah dalam mengejar impian anda. 

"Saya kini berpeluang untuk beraksi menentang Barcelona dan Real Madrid!" katanya. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen