Buffon akhirnya tamatkan kerjaya Juventus selama 17 tahun

Oleh Thani Hasbullah 21 May 2018 2740
Buffon akhirnya tamatkan kerjaya Juventus selama 17 tahun
Boleh bayangkan betapa beremosinya Gianluigi Buffon yang mengakhiri kerjaya bersama Juventus selama 17 tahun dengan membantu pasukan itu memenangi gelaran Serie A ketujuh berturut-turut dan semuanya tersimpan dalam kemenangan 2-1 ke atas Verona di hadapan penonton sendiri di Turin, awal pagi semalam.

Ketika penjaga gol berusia 40 tahun itu digantikan selepas sejam perlawanan berlangsung, dia kelihatan menangis semasa memeluk rakan pasukannya sementara penonton turut berdiri memberikan tepukan tanda hormat. Dia juga mendekati penonton di Turin, selain menerima hadiah dan ucapan tahniah daripada peminatnya. 


Sebelum sepak mula lagi, pemain kelahiran Itali itu disambut dengan kain rentang yang terpampang wajahnya. 
 
Segala-galanya seperti menenggelamkan kemenangan 2-1 Juventus hasil jaringan Daniele Rugani dan Miralem Pjanic. Alessio Cerci menjaringkan gol selepas Buffon digantikan oleh Carlo Pinsoglio.
 
Ia kerana semua mata tertumpu ke arah legenda itu yang mengumumkan mahu meninggalkan Juventus selepas mengundurkan diri daripada tugasan antarabangsa.


Buffon menyertai Juventus dari Parma pada 2001, dan musim terakhirnya ini menyimpulkan satu kejayaan luar biasa -- meraih sembilan mahkota Serie A secara perbadi.
 
Jatuh bangunnya bersama Juventus nyata membuktikan kesetiaannya. Dia adalah pemain yang kekal di Turin ketika pasukannya itu terpaksa disingkirkan ke liga tahap kedua Itali, Serie B, akibat skandal mengatur perlawanan pada 2006.

Buffon kini sedang mempertimbangkan tawaran untuk peranan baru di dalam dan di luar padang, dengan dikhabarkan mendapat tawaran bermain dengan juara Perancis, Paris St-Germain (PSG), dan berkhidmat di luar padang bersama Juventus.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen