Budak pencuci pinggan kepada pemain terbaik EPL

Oleh Shaukei Kahar 29 April 2019 6208
Budak pencuci pinggan kepada pemain terbaik EPL
Putaran roda kehidupan seorang budak pencuci pinggan kepada pemain pertahanan termahal dunia, harus melengkapkan antara kisah dongeng paling meruntun perasaan dalam bola sepak Inggeris.

Bukan sekadar asalnya dibayar cuma £3 (RM16) sejam hingga bergaji £10 juta (RM53.5 juta) setahun kini, malah pemasyhuran Virgil Van Dijk selaku Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) di London malam tadi, melengkapkan pengkisahan bola sepak yang memungkinkan apa saja.

Malah, sudah banyak cerita budak jalanan dan gelandangan di Brazil yang kemudian menjadi jutawan melalui bola sepak yang didengar dan dibaca, namun mungkin tiada yang mengatasi perihal Van Dijk yang terlepas daripada rahang maut ketika remaja untuk mencipta nama selaku antara bintang dunia.

Seperti didedahkan oleh akhbar British, The Sun, Van Dijk menghidap bengkak bernanah dalam perutnya ketika bersama kelab Groningen (pasukan belia sejak 2010 dan pasukan senior di antara 2011 dan 2013) hingga berat badannya susut banyak dan timbul kebimbangan terhadap nyawanya.

Selama menderitai penyakit itu, dia hanya mampu bergantung kepada ‘drip’ sebagai penyambung hayatnya.

“Ibu Virgil mengejarkannya ke hospital kerana bimbangkan keselamatannya. Lama dia dirawat di hospital dan apabila kembali, dia tersangat lemah. Ia memperlahankan gerakannya untuk hampir separuh musim,” kata jurulatih Groningen ketika itu, Robert Maaskant, kepada The Sun.

“Tapi kami menyediakan satu program individu khusus untuk pemulihannya dan tidak terlalu mendesaknya ketika pra-musim. Dan apabila dia cukup cergas untuk bermain kembali, dia menyerlahkan bakat dan keupayaan besarnya semula,” tambahnya.


Van Dijk ketika beraksi untuk Celtic berdepan Barcelona dalam Liga Juara-Juara pada 2012

Itu cerita lama kerana sepanjang musim ini, tiada mana-mana pemain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mampu menggelecek melepasinya di tengah-tengah barisan pertahanan Liverpool untuk kelab itu bolos hanya 20 gol setakat musim ini.

Buat seorang anak muda yang awalnya dinasihatkan agar melupakan saja impian dalam bola sepak untuk fokus kepada pekerjaan sebagai pencuci pinggan sebuah restoran, Van Dijk ternyata telah meningkat terlalu jauh.

“Dia seorang pekerja yang rajin. Dia seorang pencuci pinggan yang amat bagus dan tidak pernah culas datang bekerja secara sambilan pada dua malam paling sibuk setiap minggu,” cerita Jacques Lips, pemilik restoran bernama Oncle Jean di tempat kelahirannya di Breda, Belanda, kepada akhbar Daily Mirror.

“’Tinggallah di sini, Virgil', saya memberitahunya. 'Di sini, kamu berpeluang mencari duit poket. Saya sering memberitahunya untuk mencuci lebih banyak pinggan dan lupakan saja untuk menjadi pemain bola sepak profesional'.”


Di sini ruang belakang restoran Oncle Jean di mana Van Dijk pernah cuci pinggan ketika remaja


Betapa Lips amat tersilap.

Van Dijk, yang pada waktu itu baru berusia 16 tahun, mendapat bayaran £3 (RM16) sejam sambil dia menyertai akademi kelab Willem II yang berdekatan dan berlatih keras untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Selepas meninggalkan Breda, dia diberitahu Willem II bahawa dia tidak akan mencapai tahap seorang pemain profesional, lantas membawa diri lebih 300 kilometer jauhnya ke FC Groningen.

Di sanalah, segala-galanya bermula.

Daripada Groningen – kelab yang pernah diwakili Fandi Ahmad -- Van Dijk membuat perpindahan ke Celtic di Scotland, disusuli perpindahannya ke Southampton di mana kecemerlangannya meyakinkan Jurgen Klopp dan Liverpool untuk membayar yuran perpindahan rekod dunia £75 juta (RM400 juta pada kadar tukaran hari ini) buat seorang pemain pertahanan.

Lantaran daripadanya, dia akan meraih gaji £55 juta (RM294 juta) untuk tempoh lima setengah tahun yang akan datang.

Selebihnya adalah sejarah yang pra-kemuncaknya adalah gelaran Pemain Terbaik Tahunan PFA 2018/19 malam tadi dan kemuncak sebenarnya haruslah andai The Reds ditabalkan juara EPL ketika berdepan Wolves di Anfield, 12 Mei ini.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen