Budak kampung masuk kampung

Oleh 15 April 2018 1909
Budak kampung masuk kampung
Hari kedua menjejakkan diri di Gold Coast, saya ditugaskan mengikuti lawatan media ke perkampungan Sukan Komanwel.
 
Selama ini, dalam fikiran saya, ‘kampung’ adalah seperti tempat kelahiran saya di Banting, Selangor, ataupun yang serupa dengannya. Tapi kali ini, ‘kampung’ yang dimaksudkan membawa erti lebih mendalam, sebagai satu lokasi penyatuan.
 
Perkampungan Sukan Komanwel untuk edisi ke-21 kali ini dibina di atas keluasan seluas 29 hektar…dalam hati terdetik, ‘Wah, besar betul tempat ini. Untung jadi atlet!”
 
Menempatkan lebih 6600 atlet dan pegawai daripada 71 negara, sudah pasti persediaan tempat penginapan untuk mereka perlu menepati segala macam keperluan dan ragam.
 
Apa yang menarik perhatian saya sebaik melangkah ke perkampungan itu adalah bangunan berwarna-warni, dibahagikan kepada zon dengan nama sinonim gaya hidup masyarakat tempatan seperti ‘Surf,’, ‘Reef,’ ‘Rainforest,’ ‘Beach,’ ‘Sunset’ dan ‘Outback.’
 
Istimewanya lagi, ini perkampungan sukan pertama menyediakan kolam renang. Ada empat kesemuanya.
 
Sempat saya berbual dengan atlet penyumbang emas boling padang, Siti Zalina Ahmad yang mengakui, “seronok duduk berehat di tepi kolam renang sambil minum kopi…macam bercuti.”


 
Keselesaan buat atlet memang satu keperluan kerana bukan senang untuk mewakili negara dalam temasya besar sebegini. Jadi ketenangan dan waktu rehat cukup amat penting buat mereka melayan tekanan menjelang detik pertandingan.
 
Dengan kemudahan lain seperti poliklinik, gimnasium, pusat sukan dan dewan makan yang menyediakan 19,000 jenis hidangan setiap hari, memang pihak penganjur sudah melakukan segala yang terbaik untuk atlet-atlet.


 
Walaupun saya bukan seorang atlet, saya turut tumpang gembira. Ada juga peluang saya untuk tengok kampung yang tak macam kampung!
 
Buat atlet-atlet Malaysia di temasya Komanwel kali ini,syabas kerana anda adalah yang terbaik untuk menggalas tugasan. Kami rakyat Malaysia bertepuk tangan kegembiraan dan bersorak menyaksikan kejayaan demi kejayaan anda.
 
Ayuh Malaysiaku!
 
*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen