Brazil lepasi ranjau

Oleh Dayang Zainatull 28 June 2019 337
Brazil lepasi ranjau
Brazil, yang berdepan Paraguay di peringkat suku akhir Copa Amerika 2019, berjaya mara ke separuh akhir selepas menempuh laluan yang mendebarkan.

Diletakkan dalam kumpulan A bersama Venezuela, Peru dan Bolivia, The Selecao cemerlang menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas dengan pungutan tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Berdepan Paraguay, perlawanan masa sebenar dan masa tambahan berakhir seri tanpa jaringan dan jika berdasarkan sejarah, kelebihan pastinya berpihak kepada Paraguay memandangkan Brazil tewas di peringkat sama dalam dua saingan Copa menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Brazil, Alisson Becker, cemerlang menyelamatkan sepakan pertama Paraguay yang diambil oleh Gustavo Gomez. Disaat semuanya berpihak kepada Brazil, pemain penyerang Liverpool, Roberto Firmino, menghadirkan rasa gemuruh tuan rumah apabila sepakannya tersasar.

Gabriel Jesus, individu yang gagal menyempunakan sepakan penalti dalam perlawanan berdepan Peru, mengambil sepakan penalti terakhir dan berjaya menyempurnakan sepakannya untuk membawa Brazil ke peringkat separuh akhir. 

Biarpun berjaya mara ke separuh akhir, ramai peminat Brazil berharap skuad kendalian Tite itu akan kembali memperkemaskan rentak permainan terutama daripada segi ketajaman jentera serangan. Ini kerana Brazil bakal berdepan pemenang di antara Argentina dan Venezuela dan tentunya peminat tuan rumah berharap Brazil mampu mara ke pentas final.

Andai mara ke pentas final, lawan mereka nanti adalah diantara Colombia, Chile, Uruguay ataupun Peru dan sudah tentu The Selecao merupakan pilihan terbaik untuk muncul juara bagi Copa Amerika 2019.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen