Brazil akan bersamba di Russia!

Oleh Edleen Ismail 5 June 2018 7383
Brazil akan bersamba di Russia!
Brazil. Satu nama yang tidak dapat dipisahkan dengan sukan bola sepak. Jika mahu diceritakan satu persatu kaitan antara Brazil dengan bola sepak, memang terlalu banyak.

Justeru, saya memilih untuk fokus tentang Brazil dalam dua edisi Piala Dunia, 2014 dan 2018.

Ketika 2014, di sebalik prestasi cemerlang di peringkat kumpulan serta aksi baik menumbangkan Colombia di suku akhir, Brazil ditimpa malapetaka di laman sendiri apabila dibelasah Jerman dengan jaringan 7-1.

Penulis masih mengingati bagaimana kecewanya Thiago Silva, David Luiz dan Neymar yang meraung kesedihan selepas wisel penamat ditiupkan. Juga bagaimana Stadium Belo Horizonte penuh dengan tangisan kekecewaan peminat Brazil yang tidak percaya dengan keputusan perlawanan.

Itu cerita empat tahun lalu, kini 2018 ceritanya mungkin berbeza. Pasti ramai peminat bola sepak masih merasa sangsi dengan kemampuan Brazil untuk bangkit, tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza.

Lihat sahaja senarai pemain Brazil sudah cukup menghadirkan rasa gerun pihak lawan.

Barisan pemain pertahanan mereka dilihat cukup ampuh dengan benteng terakhir dibarisi tonggak AS Roma dan Manchester City,  Allison dan Ederson, yang dibantu oleh Miranda, Marquinhos, Marcelo serta beberapa nama besar lain.

Jentera tengah Brazil kini juga berbeza. Lihat sahaja nama seperti Casemiro, Paulinho, Fernandinho, Willian, Douglas Costa dan Philippe Coutinho bukan sahaja memeningkan pihak lawan, malah penulis percaya pengendali Brazil, Tite, pasti sukar memilih siapa mahu diletakkan dalam kesebelasan utama.

Manakala di barisan hadapan, kembalinya Neymar dalam skuad Brazil sudah pasti menambah sengat di jentera serangan yang turut disertai Roberto Firmino dan Gabriel Jesus.

Saya percaya, skuad Brazil mempunyai ramuan mantap untuk kembali peroleh kepercayaan peminat setia mereka dan faktor kegagalan pada 2014 akan menjadi pemangkin semangat utama yang akan membawa mereka untuk bersamba di Rusia!

Brazil diundi dalam Kumpulan E bersama Costa Rica, Switzerland dan Serbia dan andainya layak ke pusingan kalah mati, mereka akan bertemu pasukan di kedudukan satu dan dua Kumpulan F yang turut dihuni Jerman.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen