Braun Strowman tidak digunakan sebaiknya

Oleh Hafiz Azwany Taher 15 May 2018 1128
Braun Strowman tidak digunakan sebaiknya
Bekas Juara Dunia WWE, ‘Stone Cold’ Steve Austin telah mengkritik hala tuju bintang gergasi Raw, Braun Strowman di WWE waktu ini.

Perkara ini dinyatakan dalam siaran podcast The Steve Austin Show baru-baru ini di mana Austin dengan tegas mendakwa yang peranan Strowman tidak diambil serius walaupun bintang muda berusia 34 tahun itu tampak begitu meyakinkan sebelum ini.



"Mereka gelarkannya sebagai The Monster Among Men. Itulah yang saya ingin lihat pada Braun," ujar lagenda berusia 53 tahun ini.

"Braun adalah seorang individu yang menarik. Punya fokus yang jelas dan mampu mengekspresikan apa kehendaknya dalam industri ini. Saya mahu melihatnya dalam situasi genting dan berbahaya, berpeluang merebut kejuaraan utama dan membuat sesuatu yang boleh membuatkan para penonton termasuk saya tidak percaya apa yang kami lihat.

"Jadikannya seorang yang digeruni dan bukan seorang bintang yang hanya menjadi watak jenaka," tegas Austin lagi.

Tidak dinafikan, apa yang dinyatakan Austin ini amat tepat dan kena pada masanya. Sebagai antara bintang yang paling cepat meningkat naik dan telah mencipta nama yang singkat di WWE, Braun Strowman perlu menjadi sebuah figura yang kekal menakutkan, walaupun telah mengalami transisi daripada bintang berhaluan kiri kepada bintang kesukaan ramai.

Kita dapat saksikan bagaimana permulaan Strowman yang begitu mengagumkan semasa di awal-awal kariernya pasca pemecahan jenama Raw dan Smackdown pada dua tahun lalu. Siapa sangka, Strowman mampu bergerak sendirian walaupun sebelum itu hanya menjadi salah seorang ahli Wyatt Family di bawah kelolaan Bray Wyatt.

Seorang demi seorang dibenam. Sehingga Braun terpaksa menekan Mick Foley yang menjadi Pengurus Besar Raw ketika itu untuk memberikan cabaran yang lebih  hebat buatnya bagi membuktikan keupayaan sebenarnya.



Siapa mampu melupakan babak ketika Braun menterbalikkan ambulans semasa berkonfrontasi dengan Roman Reigns. Dan beberapa lagi aksi hebat yang membuatkan para WWE Universe terkesima menyaksikannya.

Bermula awal tahun ini, Braun yang sebelum ini begitu menakutkan kelihatan mula lembut dan memperlahankan rentaknya. Para penonton mula menyorak namanya. Braun mula disukai dan peminat telah senang dengannya. Ditambah dengan aksi-aksi ‘comel’ gergasi ini ketika bergandingan dengan Alexa Bliss ketika kejohanan Mixed Match Challenge sebelum musim Wrestlemania yang lalu.



Kemuncaknya, di acara Wrestlemania pada April lalu, Braun yang telah mengesahkan tempat selaku pencabar utama Kejuaraan Regu Raw, telah memilih seorang kanak-kanak berusia 10 tahun bernama Nicholas sebagai rakan regunya. Menariknya, Braun hanya menjadikan Nicholas sebagai pasangan ‘di atas kertas’ sahaja, apabila dengan mudah bersendirian menyelesaikan pasangan Sheamus dan Cesaro, seterusnya bergelar Juara Regu Raw yang baharu di acara tersebut.

Penerimaan WWE Universe terhadap momen tersebut bercampur baur. Tidak dinafikan, ia adalah saat yang amat menghiburkan dan akan menjadi salah satu kenangan lucu dalam lipatan sejarah WWE. Namun pada masa yang sama, ia seakan menjatuhkan martabat Kejuaraan Regu di jenama utama WWE itu. Seakan mengulangi sejarah mengangkat pelakon David Arquette sebagai Juara Dunia WCW (World Championship Wrestling) pada tahun 2000 yang lalu.



Dengan ketiadaan pencabar Kejuaraan Universal WWE yang benar-benar berwibawa kini, Braun boleh diangkat sekali lagi sebagai individu yang paling sesuai untuk merampas kejuaraan tersebut daripada WWE. Biarpun misi tersebut pernah gagal beberapa kali sebelum ini, Braun versi suka ramai ini boleh dijadikan harapan di mana peminat pastinya akan memberi sokongan padu kepadanya setelah ayam tambatan Vince McMahon, Roman Reigns dilihat gagal dalam menggalas amanah tersebut di beberapa acara sebelum ini iaitu Wrestlemania dan Greatest Royal Rumble.

Bintang lagenda, Hulk Hogan sendiri pernah mengeluarkan kenyataan yang beliau optimis mengatakan bahawa Braun mampu menjadi Hulkamania di era baharu. Dengan sosok tubuh berketinggian hampir 7 kaki dan berat 375 kilogram, Strowman berupaya menjadi seorang bintang masyhur seperti yang dikecapinya di era 80an dan 90an.

Tidak salah untuk Braun Strowman sesekali berjenaka. Namun jangan sampai elemen komikal itu menenggelamkan terus karakter perkasanya sehingga Strowman tidak dipandang serius serta mengulangi apa yang pernah dilalui oleh bintang-bintang gergasi sebelum ini seperti Big Show, Vladimir Kozlov, Brodus Clay, Kurgan dan ramai lagi.


 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Money In The Bank pada 18 Jun 2018 dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen