Bowtie £3 Faiz -- popular dan kontroversi!

Oleh 12 January 2017 80
Bowtie £3 Faiz -- popular dan kontroversi!
"Bowtie saya tertinggal lah! Macamana ni!" Nada Faiz agak cemas dua jam sebelum menaiki limosin menuju ke Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA.

Waktu itu Faiz bersiap di dalam bilik penginapan saya di Kameha Grand Zurich di Switzerland. Hotel lima bintang ini adalah hotel penginapan rasmi calon-calon dan legenda bola sepak termasuk Maradona. 

Saya menawarkan khidmat untuk menyiapkan Faiz sambil dibantu jurukamera Azri dan penerbit saya, Sollehuddin. Kebetulan kami juga menyiapkan dokumentari khas tentang Faiz.

Saya teringat bowtie yang saya bawa untuk dipakai pada malam gala nanti. Bowtie hitam tersebut dibelikan isteri saya di London dengan harga serendah £3 (3 pound british), bersamaan RM16.50.

Saya tawarkan kepada Faiz untuk memakainya dan saya gunakan tali leher yang turut saya bawa ke Zurich.

Kami bertigalah (krew Astro Arena) yang menyiapkan Faiz sebelum ke majlis gemilang FIFA.

Isteri Faiz, Norzawanis Hashim, perlu menumpukan perhatian terhadap anak kedua mereka yang baru berusia 8 bulan. Tambahan pula dalam cuaca sejuk sehingga -7 darjah celsius, anaknya perlukan tumpuan rapi.

"Satu dunia nak tengok Faiz ni, kena buat betul-betul," bisik hati saya sambil memakaikan bowtie di lehernya. 

Alhamdulillah - malam itu Faiz Subri mengukir sejarah yang dikenang selamanya selaku pemenang Anugerah Puskas 2016. Saya turut tersenyum bangga kerana bowtie berharga RM16.50 saya juga jadi tumpuan dunia malam itu di Zurich.

Keesokannya Faiz memulangkan bowtie saya ketika kami bersarapan di hotel penginapan. "Aku nk frame bowtie ni Faiz.." diikuti senyuman anak muda dari Kedah ini.

Dalam pada itu Faiz terkilan apabila ada golongan yang berfikiran sempit menjadikan bowtie yang dipakainya kontroversi hangat. Ianya gara-gara sudut kamera yang betul-betul berada di depannya menampakkan seolah-olah gabungan mikrofon dan bowtienya membentuk lambang salib. 

Komen yang menjadi tular itu mengundang pelbagai reaksi pembaca di media sosial. 

Saya berharap peminat agar lebih teliti dan matang sebelum membuat sebarang komen!

Apapun saya akan menyimpan rapi bowtie hitam ini yang dianggap khazanah bernilai tinggi milik saya.

Terima kasih Faiz Subri...
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen