Boleh tahan ke Lukaku?

Oleh Shaiful Shamsudin 30 August 2019 3533
Boleh tahan ke Lukaku?
Cukup bertenaga sekali Inter Milan memulakan kempen Serie A musim ini dengan Lecce mudah ditundukkan 4-0.

Atas kepercayaan terhadap sentuhan Antonio Conte yang tampak berpotensi, sejumlah 64,188 penyokong hadir memberi sokongan dalam aksi di San Siro itu atau lebih mahu dirujuk sebagai Giuseppe Meazza oleh peminat tegar.

Conte kembali dengan formasi kegemarannya, menempatkan tiga pertahanan yang terdiri daripada Danilo D’Ambrosio, Andrea Ranocchia dan Milan Skriniar.

Stefano Sensi, Kwadwo Asamoah, Marcelo Brozovic, Matias Vecino dan Antonio Candreva pula mengisi ruang tengah menerusi corak permainan yang lebih dinamik.

Namun, gandingan baru Lauro Martinez di jentera serangan, Romelu Lukaku, lebih menjadi perhatian susulan perpindahannya daripada Manchester United musim panas ini apabila muncul pemain termahal kelab dengan harga dianggarkan sekitar €80 juta (RM372.9j).

Penggempur sasa dari Belgium itu sempat menghasilkan satu gol -- gol ketiga pasukannya -- sebagai isyarat kehadirannya dalam kancah Itali yang mengundang publisiti hebat. 



Namun, kemenangan bergaya Inter itu bukanlah cerminan reputasinya di atas padang. 

Yang pertama, kekuatan fizikal jelas menjadi nadi permainannya apabila beberapa kali melepasi pertahanan menerusi tandingan fizikal. 

Bagi seorang pemain, yang melahirkan perasaan terkilannya berhubung layanan yang diterima sepanjang di Manchester termasuk proses perpindahan itu, sentuhan menerima hantarannya masih jauh untuk menjawab kritikan yang diterima hebat sebelum ini, termasuklah satu peluang membuat hantaran akhir yang tidak lebih daripada penyerang berkelas Alvaro Morata. 

Sekiranya berterusan, apakah dia mampu bertahan pula dengan kecaman yang bakal diterima dalam Serie A? 

Penyokong di Itali sememangnya terkenal dengan pendekatan agresif terhadap pemain-pemain kelab sendiri, khususnya bintang dari luar. 

Begitupun, dalam soal ini, ia hanyalah perlawanan sulung Nerazzurri dan masih ada banyak masa lagi untuk Lukaku memperbaiki aspek permainannya. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen