Bola kini dalam penguasaan Arsenal

Oleh Shaiful Shamsudin 12 March 2019 1940
Bola kini dalam penguasaan Arsenal
Empat pasukan, dua slot Liga Juara-Juara (UCL) menjadi idaman.

Kejayaan Arsenal mengatasi Manchester United 2-0 di Stadium Emirates semalam menjadikan perebutan tiket ke saingan utama Eropah semakin mendebarkan sementara Manchester City dan Liverpool yang saling mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) harus diletakkan dalam kelas berbeza ketika ini. 
 
Arsenal melonjak ke tangga keempat dengan 60 mata untuk meninggalkan Manchester United di luar konteks saingan Eropah tatkala saingan berbaki lapan perlawanan lagi. 
 
Kedudukan Tottenham Hotspur di tangga ketiga juga masih goyah memandangkan hanya berkelebihan satu mata dengan Arsenal sementara Chelsea yang memiliki kelebihan satu perlawanan, turut mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan. 
 
Selepas kedinginan prestasi sehari selepas Krismas yang menyaksikan mereka rebah tiga perlawanan, kempen The Gunners semakin kabur meskipun memperoleh keputusan memberangsangkan selepas dua perlawanan pertama, awal musim ini. 
 
Skuad yang berpangkalan di kota London itu memiliki sedikit kelebihan berikutan tidak akan berdepan pasukan dalam kelompok enam terbaik ketika ini. 
 
Berikut adalah baki aksi yang bakal diharungi Arsenal dan keputusan yang diraih dalam pusingan pertama EPL: 
 
- Wolverhampton (1-1)
 
- Newcastle United (2-1) 
 
- Everton (2-0)
 
- Watford (2-0)
 
- Brighton & Hove Albion (1-1) 
 
- Burnley (5-0)
 
Di atas kertas, nyata ia satu kelebihan buat Arsenal, apatah lagi pesaing lain seperti Manchester United masih perlu berhadapan dengan Chelsea dan Manchester City. 
 
Selain United, Chelsea pula akan diuji Liverpool manakala Tottenham, yang mengalami prestasi tidak menentu kebelakangan ini, mempunyai Liverpool, Manchester City serta Everton dalam baki jadual mereka. 
 
Ibarat dihadiahkan tendangan penalti, bola kini di kaki Arsenal dan segalanya terpulang kepada mereka. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen