Bloemendaal kuasa hoki kelab Eropah

Oleh Mirnawan Nawawi 29 May 2018 629
Bloemendaal kuasa hoki kelab Eropah
Kelab Hoki (HC) Bloemendaal berjaya melunas dendam terhadap musuh tradisi, SV Kampong, dengan merangkul gelaran juara Liga Hoki Eropah (EHL) musim ini.

Bloemendaal berputih mata mempertahankan gelaran Hoofdklasse, liga hoki paling berprestij Belanda, dimenangi musim lalu apabila menamatkan saingan pada temapt kedua di belakang juara baharu, Kampong.

Dendam tersebut terbalas apabila Bloemendaal berjaya membelasah Kampong 8-2 dalam final EHl baru-baru ini dilakukan di hadapan para penonton mereka sendiri di Stadium Sportpark Kopje.

Ia merupakan gelaran Eropah pertama buat Bloemendaal dalam tempoh lima tahun serta ketiga secara keseluruhan selepas terdahulu memenanginya pada 2009 dan 2013.

Lebih manis, kejayaan bergelar juara Eropah merupakan hadiah perpisahan terbaik buat dua legenda Bloemendaal, iaitu bintang Australia, Jamie Dwyer, 39, dan penjaga gol berpengalaman Belanda, Jaap Stockmann, 33.

Kekalahan Kampong menyaksikan dua pemain yang pernah mewakili Universiti Kuala Lumpur (UniKL) musim ini, iaitu kapten, Sander de Wijn, dan penjaga gol, David Harte, mengulangi kejayaan bergelar juara EHL dua tahun lalu musnah.

Selain De Wijn dan Harte, terdapat dua lagi pemain Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini yang beraksi dalam EHL, iaitu pakar flick UniKL, Jeroen Hertzberger, dan bintang Terengganu Hockey Team (THT), Gonzalo Peillat.

Hertzberger yang merupakan kapten HC Rotterdam, kempunan untuk berentap dengan dua rakannya dari UniKL, De Wijn dan Harte dalam final apabila tewas teruk 0-6 kepada Bloemendaal sewaktu separuh akhir.

Bagaimanapun, Hertzberger berjaya mengubati duka tersebut dengan membantu Rotterdam meraih tempat ketiga EHL musim ini selepas berhemaps pulas menewaskan wakil Belgium, Royal Herakles HC, 5-4 pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Peillat pula mengharungi kempen mengecewakan bersama Mannheimer HC dari Jerman apabila kecundang 4-5 menerusi penentuan penalti shoot out selepas seri 4-4 dengan Rotterdam pada pusingan 16 terbaik.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen