Bila nak jadi juara ni?

Oleh Zainal Abidin Rawop 2 March 2018 144
Bila nak jadi juara ni?

Bermula 3 Mac hingga 10 Mac depan bakal berlangsung lagi kejohanan hoki elit peringkat antarabangsa merebut Piala Sultan Azlan Shah.

Pertandingan yang bermula sejak 1983 hasil ilham Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Yang Dipertuan Agung kesembilan yang merupakan peminat tegar sukan hoki.

Edisi ke-27 ini bakal disertai enam pasukan dengan menyaksikan kembalinya Argentina dan England serta penampilan pertama Ireland.

Australia serta gergasi Asia, India meneruskan tradisi dan hubungan baik dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk terus menjadi pelengkap pasukan biarpun buat kali kedua berturut – turut kejohanan kali ini tanpa kehadiran Pakistan.

Juara tiga kali itu masih menghadapi masalah domestik yang bakal menjejaskan persiapan mereka ke Sukan Komenwel dan Piala Dunia 2018 di mana mereka diletakkan satu kumpulan dengan Malaysia.

Sudah pasti edisi kali ini pasti lebih sengit terutamanya dengan kehadiran juara Olimpik Rio 2016 Argentina. Kali terakhir kemunculan pasukan nombor 2 dunia itu di Ipoh ialah pada 2008, muncul sebagai juara selepas mengalahkan India 2-1. Peminat - peminat hoki sudah pasti tidak sabar untuk melihat kehebatan pakar pukulan sudut terbaik dunia Gonzalo Peillat.

Kesungguhan mereka untuk mengulangi pencapaian 2008 itu jelas terbukti pada dua perlawanan ujian yang panas menentang pasukan negara di Bukit Jalil.

Sememangnya tahun 2018 begitu sibuk untuk dunia sukan hoki kerana terdapatnya Sukan Komanwel di Brisbane pada April dan selepas itu Piala Dunia di Bhubaneswar India yang dijangka berlangsung 28 November hingga 16 Disember 2018. Sudah pasti tak dilupakan Sukan Asia di Jakarta.

India adalah halangan besar kepada Malaysia selain Pakistan, Korea dan Jepun memburu slot tunggal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selaku pemenang pingat emas Sukan Asia di Jakarta Ogos nanti.

Tahun lalu menerusi entri serupa saya melontarkan persoalan daripada diri sendiri selepas kembali ditugaskan membuat liputan kejohanan ini, bilakah Malaysia akan menjadi juara?

Kali ini mewakili peminat – peminat hoki saya ingin bertanyakan soalan serupa memandangkan edisi ini begitu mencabar kerana kesemua pasukan terbabit memiliki ranking lebih tinggi daripada skuad negara yang berada di tangga ke-12.

Pengendali pasukan negara, Stephen Van Huizen, sudahpun kehilangan empat tonggak termasuk ketua pasukan Shukri Mutalib akibat kecederaan. Terdahulu Van Huizen dan pasukan Negara juga kehilangan penjaga gol berpengalaman S.Kumar yang gagal ujian doping.

Piala Sultan Azlan Shah merupakan kejohanan pertama The Speedy Tigers pada tahun yang begitu sibuk dan padat serta penting bagi mereka.

Berdasarkan kepada persiapan dan prestasi semasa, misi yang paling logik untuk pasukan Negara di Ipoh adalah mengelakkan diri daripada berakhir di tangga tercorot.

Mungkin England, Ireland dan India tidak akan menunjukkan aksi 100% memandangkan mereka juga bakal beraksi di Sukan Komenwel dan Piala Dunia. Piala Sultan Azlan Shah mungkin gelanggang ujikaji sahaja bagi mereka.

Natijahnya ini bermakna tiada waktu rehat yang sempurna, tiada ruang untuk kecederaan jangkapanjang maupun kemerosotan prestasi andai pemain – pemain mahu kekal di dalam skuad Negara menyertai kesemua 3 kejohanan besar itu.

Pasukan negara juga pada hemat saya perlu memiliki skuad yang besar untuk memudahkan mereka membuat rotasi pemain. Persoalannya apakah Van Huizen memilikinya?

Jumpa di Ipoh nanti….

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen