Betulkah Liverpool berkelebihan? Jawapannya Salah

Oleh Shaukei Kahar 1 June 2019 4890
Betulkah Liverpool berkelebihan? Jawapannya Salah
Kadangkala apa yang dipercayai betul itu salah. Namun, seperti yang acap kali dibuktikan musim ini, Salah itulah yang menjadi sandaran yang betul.

Menjelang final Liga Juara-Juara di Wanda Metropolitano awal pagi esok, penyokong Spurs harus berharap Mohamed Salah meneruskan musim kurang menyengatnya daripada menjadi ancaman terbesar buat barisan Mauricio Pochettino itu.

Sekilas pandang, Salah yang mencetus sensasi buat Liverpool dengan meledak 44 gol musim lalu selepas menyertai The Reds daripada Roma, dilihat kurang berjaya dengan jumlah jaringan yang merosot 20 peratus musim ini.

Dalam pada itu, 26 gol sumbangannya dalam semua kejohanan buat The Scousers – di samping mengekalkannya selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Sadio Mane dan Pierre-Emerick Aubameyang dengan 22 gol – masih menyerlahkan bisa penyerang Mesir itu.

Salah memberitahu satu temu bual dengan Liverpool Echo bahawa dia dalam misi untuk melenyapkan memori buruk daripada Kiev dengan memacu Liverpool untuk bergelar juara Eropah semula.

Dua belas bulan selepas diusung keluar dalam linangan air mata gara-gara kecederaan bahu yang disebabkan kapten Real Madrid, Sergio Ramos, selepas hanya setengah jam permainan, Salah melihat aksi awal pagi esok sebagai kesempatan terbaik untuk mengakhiri satu penantian panjang.



Dia percaya Liverpool kini kembali sebagai pasukan yang lebih kuat dan berpengalaman di samping memiliki semangat berkobar-kobar untuk memperbetulkan apa yang silap ketika ditewaskan 3-1 oleh Real Madrid dalam final di Stadium Olimpiyskiy, Kiev pada 26 Mei 2018.

“Saya sangat bersyukur kerana mendapat peluang bermain dalam satu lagi final. Ini final kedua kami berturut-turut dan kami semua amat teruja. Kami tewas yang pertama tapi segala-galanya dirasakan lebih baik kali ini dan kami telah banyak belajar daripada final tahun lalu,” katanya.

Berlawanan dengan situasi musim lalu, Liverpool -- yang akan memasuki padang bagi final kali ini sebagai “pasukan pelawat” dengan Spurs dianggap tuan rumah – memiliki sedikit kelebihan psikologi dengan mengatasi The Lilywhites itu dua kali dalam EPL musim ini – kedua-duanya dengan keputusan 2-1 di Wembley (15 September) dan Anfield (31 Mac).



“Saya fikir ia akan tetap satu perlawanan sukar,” kata penyerang berjersi nombor 11 itu. “Siapa pasukan pilihan dan siapa bukan, tidak akan mengubah apa yang perlu dilakukan di atas padang.

“Tiada lawan yang mudah dalam final, baik Spurs mahupun Ajax – pasukan yang menyingkirkan kedua-dua Real Madrid dan Juventus.

“Kini kami hanya fikirkan mengenai Spurs, ia lebih sukar kerana mereka sebuah pasukan Inggeris. Ia mungkin memberikan kami sedikit lonjakan semangat tapi ia tidak akan menjadi sebab utama untuk kami memenangi final ini,” katanya lagi.

Rehat tiga minggu selepas berakhirnya liga meluangkan waktu buat Jurgen Klopp mencaturkan persiapan rapi pasukannya di kem latihan tertutup di Marbella, Sepanyol.

“Kami mengharungi persiapan yang baik di Sepanyol. Seluruh pasukan kini di tahap terbaik secara fizikal, jadi saya harap ia memberikan kami sedikit kelebihan dalam final.

“Kami semua berasa amat bersemangat, baik pemain mahupun pasukan kejurulatihan. Saya harap kami akan memenangi final kali ini,”katanya.

Jika anda bertanya betulkah Liverpool berkelebihan? Salah mungkin adalah jawapannya.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen