Betul ke Pochettino?

Oleh Nafis Abdullah 16 March 2018 12551
Betul ke Pochettino?
Dalam satu sesi temuramah baru-baru ini, pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menyifatkan Dele Alli sebagai pemain muda terbaik dunia ketika ini.

Pemain yang menyertai Spurs dari MK Dons pada 2015 itu dilihat sebagai seorang pemain yang tidak boleh dikritik sambil Pochettino dengan nada yakin menyifatkan pemain tengahnya itu sebagai individu yang berada dalam kelas tersendiri.

"Beritahu saya seorang pemain yang berusia 21 tahun dan lebih bagus berbandingnya. Berikan seorang sahaja kerana bagi saya, apabila dibandingkan dengan pemain muda lain di Eropah serta seluruh dunia, dia adalah yang terbaik."



Mungkin disebabkan Alli merupakan anak buahnya, Pochettino berpendapat begitu. Jadi, berikut adalah antara pemain muda yang mungkin "tidak setaraf" Alli di mata pengendali dari Argentina itu.


Gabriel Jesus - 20 tahun (Manchester City)

Pemain Brazil ini dilihat hampir pasti meraih tempat dalam skuad Selecao. Sejak tiba di Etihad pada Januari 2017, penyerang dengan ketinggian 1.75 meter ini telah menjaringkan 15 gol daripada 31 penampilan liga dan mungkin dia telah menambah jumlah itu sekiranya tidak mengalami kecederaan yang memaksanya berehat panjang bagi musim 2017/18.

Kylian Mbappe - 19 tahun (PSG)

Pemenang Ligue 1 musim lalu ini sedang meniti musim yang cemerlang di bawah kendalian Unai Emery. Dia telah menjaringkan 19 gol musim ini, termasuk dua jaringan ketika membenam Angers, awal pagi semalam. Tempatnya juga hampir pasti terjamin untuk mengetuai barisan serangan Perancis menjelang Piala Dunia 2018, bersama-sama Antoine Griezmann.



Kingsley Coman - 21 tahun (Bayern Munich)

Memulakan karier bersama skuad belia Paris Saint-Germain (PSG) pada tahun 2013, Coman boleh diklasifikasikan sebagai pemain muda paling berjaya jika jumlah kejuaraan yang diraih diambil kira. Dua trofi Ligue 1, satu gelaran Serie A ketika bersama Juventus serta dua kejuaraan Bundesliga pastinya satu pencapaian yang besar buat pemain berusia 21 tahun.

Justin Kluivert - 18 tahun (Ajax Amsterdam)

Pada usia yang begitu muda, anak kepada legenda Belanda, Patrick Kluivert, ini sudah mengesahkan tempat dalam kesebelasan utamanya bersama Ajax. Dia merupakan salah seorang pemain yang mengisi barisan muda kelab Eredivisie itu ketika final Liga Europa 2016/17. Mencatat tujuh gol dalam 32 penampilan dalam liga Belanda, Justin muncul antara wajah segar yang menarik minat kebanyakan gergasi Eropah, termasuk Real Madrid.



Christian Pulisic - 19 tahun (Borussia Dortmund)

Pemain kelahiran Pennysylvania, Amerika Syarikat ini memulakan kariernya di Jerman pada 2016. Kejuaraan bersama Dortmund hanya satu sehingga kini, iaitu Piala Jerman pada musim lalu tetapi keunggulannya secara individu telah terbukti apabila dicalonkan dalam senarai skuad terbaik Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2015/16.

Dani Ceballos - 21 tahun (Real Madrid)

Produk Real Betis ini gagal mencuri tumpuan sejak tiba di Santiago Bernabeu disebabkan kebanjiran pemain bintang di dalam pasukan. Bagaimanapun, pencapaiannya bersama skuad kebangsaan Sepanyol begitu mengujakan. Selain gelaran juara Kejohanan Eropah (EURO) B-19 pada 2015, dia turut memegang status pemain terbaik kejohanan ketika itu.

Marcus Rashford - 20 tahun (Manchester United)

Penyerang England yang sudah tidak perlu dipersoalkan kredibilitinya. Pada usia 20 tahun, Rashford telah menjaringkan gol ketika berdepan empat pasukan besar di England, iaitu Manchester City, Arsenal, Chelsea dan Liverpool. Kemampuannya mencipta jaringan dalam aksi penting juga terbukti apabila membawa United melepasi separuh akhir Liga Europa, musim lalu.



Ousmane Dembele - 20 tahun (Barcelona)

Satu lagi kejayaan Perancis dalam membangunkan bakat muda. Aksi lincah Dembele bersama Borussia Dortmund pada musim lalu telah mencuri perhatian Barca, namun penghijrahannya ke Camp Nou diganggu dengan episod kecederaan panjang. Kini, dia telah pulih dan aksinya ketika bertemu Chelsea baru-baru ini memberikan petanda bahawa kelibatnya harus sentiasa diperhatikan.

Senarai di atas cuma sebahagian daripada pemain yang mungkin jauh lebih bagus berbanding Alli. Jika diambil kira kontroversi isyarat jari dan video lucah yang pernah melanda pemain tengah England itu, tentunya dia jauh ke belakang berbanding pemain-pemain di atas.

Jadi, benarkah Dele Alli pemain muda terbaik dunia ketika ini?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen