Berundurlah tuan presiden

Oleh Bazly Azmi 7 May 2018 8285
Berundurlah tuan presiden
Kejayaan rangkul pingat bukan jaminan untuk presiden mengekalkan jawatan persatuan sukan kebangsaan.

Datuk Ong Poh Eng menikmati saat menggembirakan selama 6 tahun mengemudi Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).



Pada awalnya, beliau diangkat sebagai penyelamat kerana ketika itu PABM diterajui individu yang tidak dapat kepercayaan ahli gabungan terutama selepas skuad negara dilanda kes doping.

Dua tahun kemudian, Mohd Hafifi Mansor rangkul pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan Poh Eng menikmati pelaburan dengan program latihan tersusun.

Bagaimanapun, tahun itu juga angkat berat dipalit kes doping.

Tahun demi tahun, angkat berat berjaya cipta impak dengan kejayaan besar termasuk Hafifi layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 selain Azroyhazal Wafie Ahmad Izhar dan Aznil Bidin rangkul emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Sayangnya, kejayaan itu turut diiringi kes doping hingga terbaru, Fazrul Azrie Mohdad.

Ini tahun kelima berturut-turut angkat berat mencatat kes positif doping hingga mewujudkan situasi tidak senang di peringkat akar umbi.

"PABM tidak tegas menguruskan masalah doping. Presiden perlu ditukar," kata pegawai dari Wilayah Persekutuan.

"Kami perlukan pemimpin yang lebih tegas. Sampai bila angkat berat perlu berdepan masalah ini," kata seorang pegawai dari Selangor.

Riwayat Poh Eng di PABM makin hampir menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), 12 Mei ini.

Beliau hanya mendapat satu pencalonan untuk kerusi presiden, itupun dari negerinya sendiri, Pulau Pinang sedangkan timbalannya, Datuk Ayub Rahmat 11 pencalonan.

Saya sempat bertemu Poh Eng selepas beliau mempertahankan jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia: "Saya akan tarik diri dari PABM jika ada pencabar," katanya ringkas.

Itulah keputusan terbaik. Jika ahli gabungan sudah bersuara, tidak perlu tunggu lagi untuk angkat kaki.

Berundurlah secara terhormat, Tuan Presiden! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen