Berundurlah, Arul Selvaraj

Oleh Hishamuddin Aun 20 November 2015 155
Berundurlah, Arul Selvaraj

Namun, apa pun alasan yang diberikan di sebalik kekalahan 1-4 menerusi penentuan penalti kepada Korea Selatan malam tadi setelah kedudukan terikat 3-3, ia sebenarnya satu kepahitan yang amat sukar ditelan.

Sama seperti Kejohanan Remaja Asia 2012 di Melaka yang dijuarai Malaysia buat julung-julung kalinya – skuad negara kemudian menduduki tempat keempat dalam Kejohanan Hoki Remaja Dunia di India pada 2013 – skuad yang ditampilkan kali ini juga banyak berkelebihan.

Berberkalkan persiapan secukupnya, barisan pemain yang berbakat dan berkesungguhan serta beraksi di halaman sendiri, mungkin satu-satunya perbezaan ialah penampilan Arul Selvaraj selaku ketua jurulatihnya. Tiga tahun lalu, skuad remaja negara dikendalikan Dhaarma Raj Abdullah.

Membuka tirai saingan di Kuantan dengan kemenangan 4-0 ke atas China dalam Kumpulan A, Malaysia bagaimanapun sedikit terencat dengan kekalahan 5-4 kepada India dalam perlawanan kedua.

Namun, perlawanan ketiga berdepan Jepun yang sebenarnya mengukur perwatakan sebenar Arul. Menang atau seri dalam pertemuan dengan Jepun, akan menemukan Malaysia dengan Korea Selatan – pasukan yang mahu dielakkan mana-mana lawan kerana semangat juang negara pengeluar Hyundai dan Kia itu. Sebaliknya, kalah kepada Jepun akan memberi laluan lebih mudah buat Malaysia dengan berdepan Bangladesh.

Begitupun, saya angkat topi kepada Arul Selvaraj yang menuntut pemainnya mengikhtiarkan kemenangan ke atas Jepun atas soal prinsip bahawa kita tidak harus terlalu memilih lawan dalam suku akhir.

“Saya tidak memikirkan kekalahan dan kerjaya saya (jawatan sebagai ketua jurulatih ),” kata Arul mengenai risiko yang diambilnya selepas seri dengan Jepun. “Saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk membawa pasukan saya ke tahap lebih baik.”

Tetapi, percaturannya tidak menjadi.

Mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama dan kemudian 3-1 dengan perlawanan berbaki empat minit, Malaysia membenarkan Korea kembali ke dalam saingan untuk mengikat kedudukan 3-3 dan menang 4-1 menerusi penenuan penalti.

Sebarang sesalan, pada peringkat ini, tidak akan berguna lagi pada ketika segala-galanya sudah terlebur.

Mungkin sesudah kehilangan jawatannya nanti, Arul boleh bermenung memikirkan harus tidak silap untuk ‘lelong’ perlawanan dengan Jepun asalkan Malaysia dapat bertemu Bangladesh dan habuannya harus kemaraan ke Kejohanan Remaja Dunia tahun depan.

Andainya menang ke atas Korea, pastinya Arul akan dijulang sebagai wira. Tapi, dengan keputusan sebaliknya, dia perlu bertanggungjawab.

Daripada bergelar juara remaja Asia tiga tahun lalu dan keempat terbaik di dunia pada 2013, barisan remaja Malaysia di bawah kendalian Arul Selvarajah kini diingati sebagai pasukan picisan yang hanya setaraf Bangladesh dan Oman yang sama-sama tidak layak.

Saya sudah angkat topi kepada Arul sebelumnya kerana percaturan beraninya enggan mengelakkan Korea. Saya sedia angkat topi lebih tinggi jika Arul secara terhormat mengumumkan melepaskan jawatannya daripada menyerahkan nasibnya kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Lagipun, bukankah Arul sendiri yang sebelumnya mengumumkan dia tidak gusar akan kehilangan jawatannya? Pasukan remaja Malaysia bimbingannya juga gagal mencapai tahap lebih baik.

Kegagalan Malaysia dalam kempen kelayakan ke Kejohanan Remaja Dunia tahun depan harus dipertanggungjawabkan tidak lain kepada Arul Selvaraj.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen