Berehatlah Chong Wei

Oleh Suzana Basri 14 June 2019 1504
Berehatlah Chong Wei
Tidak kira kawan mahu pun lawan, satu dunia sedang bersedih dengan persaraan penuh beremosi Datuk Lee Chong Wei daripada arena sukan badminton yang dibuat pada tanggal 13 Jun 2019. Tetapi kalau bukan kerana ibunya, Khor Kim Choi, dan bapanya, Lee Ah Cai, mungkin figura ini bukanlah idola sesiapa dan ikon kesayangan ramai seperti hari ini.

Dilahirkan pada 21 Oktober 1981 di Bagan Serai, Perak, Chong Wei kemudiannya dibesarkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan mendapat pendidikan awal di SRJK (C) Jit Sin, Berapit dimana minatnya dalam bidang sukan mula terserlah dengan menceburi bola keranjang. Namun Chong Wei mendapat tentangan hebat ibunya yang tidak gemar dia berpanas di gelanggang.

Kekecewaan tidak dapat meneruskan minat bermain bola keranjang cuba diubati bapanya yang menjadikan badminton sebagai hobi. Chong Wei mula dibawa bersama ke gelanggang ‘indoor’ untuk mempelajari sukan ini ketika berusia 11 tahun dan siapa sangka, timbul perasaan cinta dalam diri Chong Wei terhadap badminton sejak itu.

Kecenderungan dan bakat luar biasa Chong Wei mudah mendapat perhatian ramai, termasuk jurulatih tempatan yang menggilap kemahirannya sebelum diserap ke dalam skuad kebangsaan oleh seorang lagi legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek pada 1998, ketika rakan seusianya sibuk mengatur haluan hidup ke menara gading.

Kehidupan zaman remaja menjadi antara pengorbanan yang dilakukan Chong Wei demi hasratnya menjadi seorang pemain badminton yang disegani dan janjinya kepada Misbun itu telah menampakkan hasil cukup lumayan dengan menamatkan kemarau pingat olimpik Malaysia sejak 1996 apabila membawa pulang pingat perak dari Sukan Olimpik Beijing 2008.

Sejak itu, Chong Wei menduduki tangga teratas dalam ranking pemain badminton lelaki perseorangan selama 199 minggu berturut-turut, iaitu pada 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012 - selain muncul pemain badminton Malaysia ketiga yang mencapai tangga teratas selepas Rashid Sidek dan Roslin Hashim.

2012 dikatakan tahun terbaik untuk Chong Wei merealisasikan impian membutirkan pingat emas Sukan Olimpik pertama Malaysia. Malah Chong Wei hadir ke London dengan pakej sempurna sebagai seorang juara yang mampu melengkapkan profil yang hanya belum diisi gelaran olimpik dan dunia. Namun entah di mana silapnya, dia masih gagal melakukannya pada penganjuran 4 tahun kemudian di Rio De Janeiro.

Semua pihak cuba mencari penyelesaian yang mendesak, mencari siapa yang harus dipersalahkan, sehingga ada media yang cuba mengorek cerita sensasi dari ayahnya yang sudah semakin jauh dari kehidupan Chong Wei sekeluarga gara-gara perceraian dengan ibunya pada 2013. Namun, jika Kim Choi mengajar anaknya tekad semangat mencapai apa yang dihajati, Ah Cai pula mengingatkan tentang nilai murni seorang manusia - rasa tanggungjawab dalam setiap tindakan dan perbuatan.

Lihat sahaja bagaimana perkataan maaf masih tidak lekang dari bibir Chong Wei sehingga saat dia mahu menggantung raket. Air mata Chong Wei tidak tertahan lagi kerana dirinya sentiasa menyantuni kepentingan negara sebagai yang utama dalam hidupnya.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat beraksi di Tokyo nanti. Saya memohon maaf sebab tidak dapat membutirkan pingat emas olimpik lagi. Saya tahu saya tidak perlu menyesal kerana sudah memberikan yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua. Lee Chong Wei mengundurkan diri.”

Berehatlah idola dan ikon kesayangan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen