Benarkah bola sepak kita sudah setaraf Australia?

Oleh Muzaffar Musa 15 August 2019 5306
Benarkah bola sepak kita sudah setaraf Australia?
Kelmarin, skuad B-19 negara mencipta kejutan terbesar dalam Kejohanan AFF B-18 apabila menundukkan pasukan pilihan,  Australia, bukan satu, bukan dua tetapi dengan tiga gol tanpa balas.

Lebih membuka mata, ia bukan sahaja menamatkan rekod tanpa kalah Socceroos, malah ia merupakan kali pertama pasukan yang menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada 2006 itu dibolosi lebih daripada satu gol sepanjang kejohanan berkenaan.

Terdahulu, dua minggu lalu, skuad B-15 negara kendalian P. Maniam itu turut melakar kejayaan sama dengan membenam Australia 3-0 dalam saingan peringkat kumpulan sebelum muncul juara keseluruhan Kejohanan AFF selepas menewaskan Thailand 2-1, Jumaat lalu.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dalam skuad B-23 juga pernah mengikat Australia 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Mac lalu.

Jadi, adakah ia menunjukkan Malaysia kini sudah setaraf Australia?

Berdasarkan ranking semasa skuad senior seperti yang dikemas kini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 25 Julai lalu, Australia menduduki tangga ke-46 manakala Malaysia jauh ketinggalan 113 anak tangga di ranking ke-159.

Berdasarkan rekod, kali terakhir skuad senior Harimau Malaya berdepan Socceroos ialah pada Oktober 2011 di mana skuad kendalian Datuk K.Rajagobal pada ketika itu tewas 0-5 dalam aksi persahabatan di Canberra.

Namun, itu cerita lapan tahun dulu. Jika ada ibu yang melahirkan anak pada tarikh perlawanan tersebut, anaknya kini sudah darjah dua.

Amat sukar untuk membandingkan sejauh mana jurang di antara kedua-dua pasukan memandangkan sepanjang tujuh tahun ini skuad senior negara belum pernah berdepan Australia.

Bagaimanapun, kejayaan pasukan-pasukan bawah umur berkenaan seharusnya dijadikan teladan dan semangat buat skuad senior kebangsaan yang akan menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, bermula bulan depan.

Seharusnya skuad negara memanfaatkan aksi Kumpulan G yang dipenuhi seteru Asia Tenggara itu selain Emiriah Arab Bersatu (UAE) -- yang pernah menewaskan Malaysia dengan rekod bolos terbesar 10 -0 pada 2015 -- diletakkan sebagai pilihan utama.

Kalau adik-adik boleh "makan" Australia, takkan abang-abang tak boleh "makan" UAE?

Selamat berjaya juga buat skuad B-19 yang akan menghadapi Thailand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan petang ini.

Semoga layak ke separuh akhir dan seterusnya mempertahankan kejuaraan dua tahun lalu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen