Belum apa-apa keting kena 'cah' lagi   

Oleh Shaiful Shamsudin 10 April 2019 4077
Belum apa-apa keting kena 'cah' lagi   
Sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004, hanya dua pasukan yang pernah menjulang tiga kejuaraan utama sekali gus atau sinonim digelar 'treble'. 

Kedah dan Kelantan merupakan satu-satunya pasukan yang memahat sejarah tersendiri dalam Liga Malaysia (Liga-M) apabila melengkapkan kejayaan 'treble' dengan Kedah menikmati gemilang itu pada musim 2007 sebelum Kelantan menjejakinya pada musim 2012. 

Begitupun, sesuatu yang amat menyedihkan apabila bola sepak Kelantan kian hanyut dalam arus peringkat tinggi. 

Kemelut pembatalan perjanjian di antara Syarikat MyInspiration Sdn Bhd, yang menguasai 70 peratus saham Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd. (KRW), dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ibarat lahar yang hanya menunggu masa untuk meletuskan pekungnya. 

KRW, menerusi ketua pegawai eksekutifnya, Fazli Mohammad, mendakwa tindakan drastik itu dilakukan ekoran kegagalan KAFA memenuhi tuntutan seperti dokumen pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia. 

Fazli berpendirian keputusan berkenaan adalah muktamad dan segala hal berkaitan akan melalui peguamnya dan dalam kenyataannya Khamis lalu, dia memetik nama Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, atas kegagalan menunaikan perjanjian membabitkan dokumen pasukan yang dimeterai 24 Januari lalu. 

Kemelut itu khususnya menggugat status kewangan KAFA yang sememangnya sudah terbeban. 

Pelantikan KRW sepatutnya membawa sinar baru dalam bola sepak Malaysia, dengan ramai sebenarnya ingin melihat sejauh masa keberkesanan formula kerjasama seumpama ini tetapi nampaknya, belum apa-apa lagi keting dah kena 'cah' (terjah).

Ia situasi rumit tetapi mudah difahami apabila seorang presiden pada Februari lalu menegur prosedur pengambilan pemain yang diuruskan KRW sebaik nama Safee Sali disebut-sebut di kem Kelantan.

Bibi Ramjani mengeluarkan kenyataan yang berbunyi: "Walaupun pasukan kini diuruskan KRW, sedikit-sebanyak KAFA masih memantau perkembangan pengurusan pasukan.

"Ini kerana KAFA yang akan tetap menanggung akibatnya kemudian hari kerana kontrak mereka dimeterai bersama KAFA.

"Lebih baik kami tengok situasi ini berdasarkan keperluan atau ia menjurus kepada pembaziran."

Dari sini, peminat TRW sendiri pun kurang jelas, siapakah yang benar-benar bertanggungjawab menentukan kedudukan pasukan.

Sesudah seminggu, semalam KAFA memberitahu bola sepak Kelantan akan berjalan seperti biasa dan pengurusannya akan kembali digalas mereka tetap belum menawarkan jawapan konkrit terhadap isu kontrak membabitkan jurulatih, Marko Kraljevic, dan pemain tengah, Mohd Badhri Radzi.

Selain pemain, penyokong juga tersepit dengan situasi ini.

Harus diingat, meski pasukan dilanda badai, TRW tetap mempunyai penyokong tegar. 

Aura TRW cukup besar, biarpun tergelincir dalam Liga Perdana, semangat penyokong mereka tetap membara dan mereka masih mengharapkan berita positif di sebalik kemelut ini. 

Malah, sejak zaman gelap lagi sebelum skuad Cik Wan Siti Kembang berwajah baru pada musim 2009, Kelantan ada komuniti penyokong yang kuat yang masih mengikuti perkembangan pasukan sekalipun marah-marah sayang. 

Skuad 2012 sudah meletakkan penanda aras. Auranya terasa sehingga menyusup ke seluruh pelosok kampung-kampung sampaikan satu 'negara' demam merah-putih.  

Jadi, apa jua kesudahan di antara KAFA dan KRW ini, silalah hormati aspirasi penyokong. 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen