Bekas import Liga M menuju Piala Dunia

Oleh Shaiful Shamsudin 30 March 2018 63068
Bekas import Liga M menuju Piala Dunia
Tinggal 75 hari menjelang sepak mula Piala Dunia Russia, Australia cuba mengubah dinamik skuad menerusi pelantikan Bert van Marwijk. 

Bekas jurulatih yang pernah membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010 itu segera membuat rombakan, antaranya dengan memperkenalkan Dimitri Petratos dan Andrew Nabbout. 

Kedua-duanya mempunyai ciri yang hampir serupa sebagai pemain tengah yang gemar merencana serangan. 

Selain daripada itu, kedua-duanya pernah mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M). 

Petratos yang kini berusia 26 tahun, pernah memperkuatkan skuad The Red Warriors, enam tahun lalu. 

Sayangnya, pada masa itu, kelibat bekas tonggak B-23 Australia itu sekadar didaftarkan untuk kempen Piala AFC berikutan peraturan Liga M yang membenarkan dua import.

Kini semakin matang, prestasi konsistennya bersama Newcastle Jets menarik minat Van Marwijk.

Nabbout pula pernah menjadi buah mulut penyokong Negeri Sembilan selepas meledak sembilan gol dalam 14 aksi sebelum kontraknya ditamatkan berikutan skuad Hoben Jang Hoben memilih hala tuju baru terhadap jentera serangan mereka. 

Sejak kembali ke Australia dan menyertai Newcastle Jets, penyudah Nabbout makin berbisa dan buktinya, penyandang juara Liga Juara-Juara Asia, Urawa Red Diamonds, sanggup mengeluarkan dana sebanyak AUD500,000 (RM1,5 juta) demi menjamin khidmatnya. 

Skuad Socceroos menurunkan Nabbout dalam dua aksi antarabangsa tempoh hari -- tewas 4-1 kepada Norway sebelum mengikat Colombia 0-0.

Australia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Perancis, Denmark dan Peru.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen