Baru hang tau liga Malaysia macam mana!

Oleh Burn Thevandran 21 March 2018 27688
Baru hang tau liga Malaysia macam mana!
Sewaktu musim 2015, Ramon Marcote hanyalah pembantu kepada Tan Cheng Hoe. Namun keupayaannya mengendalikan pasukan sewaktu final Piala Malaysia 2015  disukai ramai di kala Cheng Hoe sedang berkursus di China.

Kemasukan semulanya tahun ini selaku ketua jurulatih turut mendapat sokongan banyak pihak yang percaya pengendali dari Sepanyol itu mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada pasukan Kedah sedia ada di bawah kendalian Nidzam Adha Yusof sebelumnya.

Tetapi itu semua hanyalah anggapan indah sebelum sepak mula liga. Tewas dalam pertemuan Piala Sumbangsih, Kedah hanya mampu memungut enam mata daripada lima perlawanan liga, selain sudah tersingkir daripada saingan Piala FA.

Marcote kini pastinya berada dalam tekanan, tambahan pula pasukan Selangor yang mempunyai mata sama dengan Kedah dalam liga telah merehatkan jurulatih mereka, P. Maniam.

Terbaru, Marcote dan Pablo Pallares dikhabarkan menghilang dari hotel penginapan pasukan selepas tewas di tangan Pahang. Mereka berdua dikatakan cuba mengelak daripada bertemu penyokong Kedah yang tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Lang Merah.

Hal ini turut menarik perhatian individu-individu dalam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang dikhabarkan akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan kedudukan Marcote.

Penulis berasakan bahawa Marcote sebenarnya masih mencari-cari formula yang perlu diterapkan dalam liga Malaysia. Jika dahulu, beliau hanya memegang jawatan pembantu jurulatih, tetapi kini segala beban adalah di bahunya. 

Makin memburukkan keadaan apabila pemain import pilihannya, Pallares, masih tidak mampu menambat hati penyokong setia pasukan Kedah.

Kini baru Marcote sedar bagaimana suasana, tekanan, desakan penyokong dan budaya liga Malaysia, apatah lagi beliau membimbing pasukan yang mempunyai reputasi besar selaku salah sebuah pasukan terbaik di Malaysia.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen