Baru 350 hari mentadbir FAM

Oleh Hasnizam Uzir 16 March 2018 25786
Baru 350 hari mentadbir FAM
Semalam, genap 350 hari Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Kongres FAM Ke-53 yang berlangsung pada 25 Mac 2017 di Hotel Hilton Petaling Jaya. 

Sepanjang di FAM, banyak perubahan drastik yang dilakukan oleh Tunku Ismail dalam urus tadbir FAM. Langkah pertama dilakukan selepas selesai Kongres FAM, Tunku Ismail dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM terus mengadakan mesyuarat pertama.

Itulah ciri-ciri seorang nakhoda yang bijak dalam merancang dan mengurus sesebuah organisasi dengan mengambil langkah-langkah proaktif dalam memperbetulkan kembali sistem urus tadbir FAM yang begitu lemah dan tersasar dari landasan untuk memajukan bola sepak Malaysia. 

Bukan itu sahaja, Tunku Ismail juga mencadangkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk mengadakan mesyuarat exco di luar Wisma FAM yang menyaksikan Sabah menjadi distinasi pertama. 

Tujuan mesyuarat diadakan di rumah ahli-ahli gabungan adalah untuk memudahkan presiden FAM meninjau sendiri keadaan dan keperluan setempat ahli gabungan. Ini untuk memastikan ahli gabungan dapat menikmati apa yang akan dirancang oleh presiden FAM dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif memandangkan tanggungjawab yang dipikul bersama-sama ahli-ahli exco yang lain amat berat. 

Walaupun ketika ini kedudukan ranking pasukan kebangsaan amat teruk, namun itu bukan bererti Tunku Ismail gagal dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia, sebaliknya kita perlu melihat bagaimana dalam tempoh tidak sampai setahun, baginda berjaya meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia sehingga penaja-penaja sudah berani untuk tampil.

Jumlah penajaan yang berjuta-juta ringgit itu telah memberi keuntungan kepada ahli-ahli gabungan, terutama dalam hak penyiaran mereka. 

Sebagai bekas pemain bola sepak, penulis berharap Tunku Ismail terus mentadbir FAM bersama-sama ahli-ahli exco yang ada untuk terus memajukan bola sepak Malaysia. 

Kepada segelintir netizen yang tidak berapa senang dengan kedudukan ranking pasukan kebangsaan ketika ini, harap dapat bersabar kerana bukan mudah untuk memperbetulkan sistem yang sedia ada ini, terutama dalam membangunkan program-program akar umbi.

30 tahun kita boleh bersabar menunggu pemimpin terdahulu untuk memajukan bola sepak negara, inikan pula Tunku Ismail yang baru hanya 350 hari mentadbir FAM. 

Ubahlah pemikiran kita kalau kita ingin melihat kemajuan bola sepak negara. 

Jangan hanya menilai melalui ranking, sebaliknya perlu menilai secara keseluruhan sistem urus tadbir yang diubah mengikut visi dan misi yang telah ditetapkan. 

Insya-Allah dengan sokongan daripada semua pihak, suatu hari nanti pasti Harimau Malaya akan gemilang kembali.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen