Bale: Satu kisah jatuh bangun

Oleh Shaukei Kahar 15 October 2018 835
Bale: Satu kisah jatuh bangun
Buat beberapa lama, Gareth Bale berura-ura meninggalkan Real Madrid sehingga keluarnya Zinedine Zidane dan Cristiano Ronaldo mengubah segala-galanya.

Ketika Zidane mengejutkan ramai dengan pengumuman untuk meletakkan jawatan pengurus Real Madrid, penghujung Mei lalu, selepas mengemudi kelab itu memenangi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut, reaksinya adalah sesuatu yang dijangka.

Pemain-pemain, pengarah kelab dan penyokong kelab itu berpusu-pusu menghamburkan pujian di media sosial buat legenda Perancis berkenaan yang dianggap tiada tolok-bandingnya.

Namun, sikap membisu Bale amat membingitkan pada ketika pendiriannya wajar difahami. Penyerang antarabangsa Wales itu tidak pun bersengketa dengan Zidane, namun hubungan di antara kedua-duanya boleh ditafsirkan jauh daripada mesra.

Atas apa pun sebabnya, Zidane jarang sekali bercakap dengan Bale di sebalik pemain lain, khususnya Ronaldo, sentiasa mendapat lebih perhatian daripada pengurus itu.

Tanpa banyak pilihan, Bale terpaksa menyesuaikan permainannya dengan keperluan rakan-rakan sepasukan yang lebih disenangi Zidane. Kerana jika tidak, dia akan kerap ditinggalkan untuk memanaskan bangku pemain simpanan.

Kini, dengan Ronaldo turut menysuli jejak Zidane meninggalkan pasukan, Bale seakan-akan mendapat nafas baru untuk menikmati kebebasan di atas padang semula – dia menyerlahkan dirinya di samping berasa kehadirannya berharga buat pasukan, sama seperti apa yang dinikmatinya bersama skuad Wales.

Buat seorang yang pendiam dan gemar menyendiri seperti Bale, ‘kebebasan’ baru itu benar-benar dinikmatinya. Hasilnya, satu lagi perlawanan Real Madrid, satu lagi pertunjukan meyakinkan daripada Bale.

Ketika berdepan Roma dalam Liga Juara-Juara, 20 September lalu, tonggak Wales itu meledak gol kelimanya dalam tujuh perlawanan buat kelab dan negara musim ini tapi lebih penting lagi, dia ternyata pantas, pintar dan tidak mampu diketepikan pasukannya.

Banyak yang sudah diperkatakan mengenai kebetahan Zidane menangani ego-ego besar di dalam bilik persalinan di Santiago Bernabeu sebelumnya. Malangnya, yang sama tidak boleh dikatakan terhadap hubungannya dengan Bale.

Begitupun, di atas padang, tiada siapa yang boleh meragui kualiti yang dimilikinya. Jelas, dia seorang pemain menepati suasana besar, yang jika diberi ruang, masa dan hantaran ‘sedap’, boleh menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

Cuma, seperti apa yang dirasakan oleh jurulatih-jurulatih terdahulunya, Bale juga harus lebih konsisten.

Dalam pada itu, ramai juga, khususnya Zidane, gagal menyedari bahawa aksi konsisten akan datangnya daripada kepercayaan dan waktu bermain yang diberikan – sesuatu yang Zidane jarang sekali hulurkan kepadanya.

Di sebalik tampil dalam sembilan perlawanan Liga Juara-Juara musim lalu, Bale hanya disenaraikan dalam kesebelasan permulaan tiga daripadanya.

Keseluruhannya, dia hanya beraksi kira-kira dua jam waktu bermain di antara perlawanan peringkat pertama pusingan 16 menentang Paris Saint-Germain (PSG) dan final berdepan Liverpool enam perlawanan kemudian.

Namun, seperti pepatah ‘apabila keadaan mendesak, yang terdesak akan bangkit’, Bale kini menanti detiknya untuk kembali menyerlah.

(BERSAMBUNG)

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen