Baku saksi Arsenal jadi kaku

Oleh Nafis Abdullah 30 May 2019 2127
Baku saksi Arsenal jadi kaku
Kelonggaran di setiap sudut posisi dalam babak kedua menyaksikan Arsenal terpaksa menelan hakikat mereka tunduk di tangan Chelsea 4-1 dalam aksi final Liga Europa (UEL), awal pagi tadi.

Kekalahan di Baku itu bererti The Gunners bukan sahaja gagal menjulang sebarang trofi dalam musim sulung di bawah kendalian Unai Emery, malah mereka juga terlepas slot automatik ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bagi kempen 2019-20.



Ternyata kepercayaan terhadap teori 'Unai Emery League - UEL' dalam naluri setiap penyokong Arsenal -- susulan kejayaan pengendali itu menjulang tiga trofi kedua tertinggi Eropah itu bersama Sevilla sebelum ini -- tetap gagal mengubah skrip tertulis musim ini.

Lebih perit, kekalahan itu juga ditanggung tanpa dua tonggak utama, Aaron Ramsey dan Henrik Mkhitaryan, tatkala pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, nekad dengan keputusan meletakkan penyerang nombor satu The Blues, Gonzalo Higuain, di bangku simpanan susulan pertengkaran ketika sesi latihan terakhir dengan rakan sepasukan, David Luiz.

Arsenal jelas gagal menampung tekanan beraksi dalam perlawanan besar walaupun dihidangkan beberapa peluang terbuka, terutama dalam babak pertama.

Pierre-Emerick Aubameyang, Sead Kolosinac, Alexander Lacazette serta Granit Xhaka masing-masing tidak mampu menyempurnakan peluang di depan gol dalam separuh masa pertama walaupun Chelsea dilihat lebih banyak bertahan menyerap asakan.



Gagal gunakan kesempatan di depang gawang dalam aksi final, ia pastinya memakan diri.

Buktinya, empat gol diraih The Blues selepas itu, termasuk jaringan pembukaan daripada bekas penggempur pujaan di Emirates, Olivier Giroud, yang turut dilihat meraikan gol tersebut.

"Saya tidak mahu raikan jaringan menentang Arsenal tetapi saya sangat berbangga untuk menjulang trofi ini bersama Chelsea," ujar Giroud.

Bekas pertahanan The Gunners, Martin Keown, mengecam beberapa nama besar dalam pasukan bimbingan Emery itu yang gagal mempamerkan keinginan tinggi sama seperti pengurus mereka.

Bagi Keown, kekalahan di Baku juga berpotensi untuk mencerminkan laluan Arsenal ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris musim depan sekiranya tiada perubahan dilakukan.



"Ia adalah kegagalan sistem di Arsenal. Chelsea terlalu bagus buat mereka," kata Keown.

"Tahun lalu mereka dibolosi 51 gol, begitu juga tahun ini bersama kelompok pemain yang sama. Jadi, perubahan besar perlu dilakukan.

"Chelsea miliki Eden Hazard dan Arsenal mempunyai Mesut Ozil. Namun, walaupun Ozil adalah pemain terbesar anda, dia gagal menyinar jika beraksi di luar laman sendiri. Dia tenggelam hampir separuh daripada permainan."

Kenyataan Keown itu menunjukkan rasa bimbang bekas bek tengah itu terhadap perkembangan yang dilalui Arsenal selepas era Arsene Wenger.



Jika setiap langkah tidak dinilai seeloknya, besar kemungkinan The Gunners akan turut mengikut jejak langkah Manchester United yang bergelut selama beberapa tahun walaupun dibarisi bintang-bintang besar.

Apa yang pasti, Baku menjadi saksi Arsenal kaku dimamah The Blues dan sah, Emery dan anak buahnya akan menemani United di pentas Liga Europa musim depan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen