Bagaimana Conte hapuskan bayang-bayang Mourinho bersama Chelsea

Oleh Muzaffar Musa 17 May 2017 141
Bagaimana Conte hapuskan bayang-bayang Mourinho bersama Chelsea
Susulan daripada artikel Suzana Basri kelmarin, benar saya salah seorang yang terlibat dengan perbualan tersebut bersama seorang lagi rakan setugas, Karl Iskandar Nunis.

Dalam halaman ini saya akan menjelaskan mengapa Antonio Conte mampu memadam aura ikonik Jose mourinho yang seakan-akan sudah sinonim bersama pasukan dari London Barat ini.

Siapa Mourinho bersama Chelsea?

Pengurus kelahiran Portugal ini mula menjejakkan kaki ke Stamford Bridge pada tanggal 2 Jun 2004 dengan kontrak tiga tahun bernilai 1.7 juta Pound dari Porto. Kehadirannya menyaksikan Chelsea meraih kejuaraan pertama Liga Perdana Inggeris (sejak penjenamaan semula pada 1992).

Sejak daripada itu, nama Jose Mourinho seakan sudah sebati dengan Chelsea. Simbiosis ini menyaksikan mereka meraih tiga kejuaraan Liga Perdana (2004/05, 2005/06, 2014/15), satu kejuaraan Piala FA (2006/07), tiga kejuaraan Piala Liga (2004/05, 2006/07, 2014/15), termasuk satu kejuaraan Perisai Komuniti pada 2005.

Jika saya ketepikan nama Sir Alex Ferguson daripada persaingan, tidak salah jika saya katakan pengurus yang digelar 'The Special One' ini adalah pengurus terbaik dalam era moden bola sepak England.

Antonio Conte adiwira sebenar.

Sekembalinya Mourinho ke pangkuan Chelsea pada tahun 2013 seakan-akan memberi harapan baru buat para peminat Chelsea. 'The Blues' meraih tangga ketiga pada musim tersebut dengan hanya dibezakan empat mata daripada juara Manchester City ketika itu sebelum meraih kejuaraan pada tahun berikutnya (musim 2014/15).

Namun langit tidak kekal cerah buat Mourinho, awan hitam menanti di musim berikutnya. Chelsea merekodkan pencapaian terburuk pada 2015/16. Mereka hanya meraih 50 mata dan tamat pada kedudukan ke-10 liga.

Keputusan tersebut sekaligus menyaksikan epilog Mourinho bersama Chelsea ditamatkan dengan kedukaan apabila dia dipecat pihak pengurusan atas dasar persetujuan bersama.

Kehilangan Mourinho yang sepatutnya diratapi peminat Chelsea, bagaimanapun, tidak kekal lama. Di sebalik kekosongan tersebut, lahir nama Antonio Conte yang menggenggam watak adiwira yang sedia membawa Chelsea keluar dari lohong hitam yang ditinggalkan Mourinho.

Usai tamat kempen dalam Euro 2016 bersama Itali, Conte ditabal pengendali baru Chelsea pada tanggal 4 April 2016. Dia kemudiannya membuka kempen musim tersebut dengan meyakinkan menerusi kemenangan 2-1 ke atas West Ham. 

Empat bulan selepas kemenangan tersebut, Conte memecahkan rekod kelab tersebut selepas mencatat 11 kemenangan berturut-turut dalam satu musim. Tidak cukup dengan itu, rekod tersebut kekal sehingga berjaya menyamai rekod Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris dengan 13 kemenangan berturut-turut semusim.

Kecemerlangan ini menyaksikan Conte menjadi pengurus pertama di England meraih gelaran Pengurus Terbaik Bulanan untuk tiga bulan berturut-turut (Oktober, November & Disember).

Musim gemilang tersebut ditamatkan dengan keindahan mengecapi kejuaraan liga pada 13 Mei lalu apabila Chelsea dinobat juara meskipun berbaki dua perlawanan selepas menundukkan West Brom di The Hawthorns.

Siapa lebih hebat?

Dalam menjawab persoalan di penghujung artikel Suzana Basri yang terdahulu. Sukar untuk menentukan siapa lebih hebat di antara kedua-dua pengurus ini. 

Mourinho misalannya sudah membuktikan deretan kejayaan bersama Chelsea sebelum ini. Bagi Conte pula, ini merupakan permulaan terbaik bagi sebuah empayar yang mampu dibina bersama Chelsea kelak.

Mourinho atau Conte?

Sejujurnya saya masih tidak ada jawapan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen