Bagaimana Abdul Rahim dapat pingat gangsa pertama negara

Oleh Rizal Hashim 4 January 2018 209
Bagaimana Abdul Rahim dapat pingat gangsa pertama negara
DALAM dunia yang serba pantas dan memihak kepada muda-mudi, warga emas kian dilupakan. Begitulah juga dengan atlet-atlet yang satu ketika bergelar jaguh.
 
Sebagai misalan, pemergian Allahyarham Datuk Rahim Ahmad tidak mendapat liputan meluas. Tiada belasungkawa daripada penulis-penulis sukan.
 
Generasi wartawan sukan hari ini pun barangkali kesempitan waktu untuk memutarkan semula jarum-jarum jam bagi menghidupkan legenda-legenda yang sudah pergi dalam bentuk penulisan mahupun gambaran.
 
Kalau adapun, hanya laporan dalam bentuk berita tanpa diiringi gambar-gambar hitam putih yang membawa nostalgia serta membangkitkan suasana ketika Malaysia bergelar Tanah Melayu dan tidak dikuasai manusia-manusia rakus.
 
Abdul Rahim meninggal dunia pada 23 Disember lalu akibat sakit tua di kediamannya di Gedung Lalang, Ampangan di daerah Seremban.
 
Di rumah itu juga penulis bergambar kenangan selepas menemu ramahnya pada Julai 2009.
 
Abdul Rahim bukan sekadar seorang atlet. Allahyarham mengimbangi kerjaya sebagai pelari dan tuntutan tugas hakiki selaku guru dan pegawai kerajaan sehingga memegang awatan sebagai Ketua Pengarah Sukan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


 
Apabila mengunjungi kediaman Allahyarham, penulis terkejut kolum Icons dalam The Malay Mail yang penulis kendalikan, diberi tempat khas dalam kamar yang digelar pejabatnya.
 
Interviu dalam bentuk soal jawab itu digantung dalam bingkai kaca di dinding kamar itu.
 
Kenapa nama Abdul Rahim terpahat dalam tinta emas sukan negara?
 
Kerana Allahyarham adalah manusia pertama mencatat masa di bawah 50 saat dalam acara 440 ela selain menjadi pemenang pingat pertama dalam sejarah sukan negara di temasya sukan antarabangsa.


 
Pada usia 23 tahun Abdul Rahim menjadi individu pertama dari Negeri Sembilan mewakili Tanah Melayu di Sukan Olimpik di Melbourne pada 1956, menduduki tangga kelima dalam saringan yang dimenangi Kevin Gosper (kemudian menjadi Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
 
“Tidak ramai menyedari saya berasal dari Negeri Sembilan kerana saya lebih lama mewakili Pulau Pinang dan Perak dalam kerjaya olahraga saya,” katanya kepada penulis dalam beberapa siri temu ramah.
 
Allahyarham menceburkan diri dalam olahraga dengan menguasai acara pecut, lompatan dan jarak sederhana di SM Tuanku Muhammad di Kuala Pilah.
 
“Ada satu ketika saya membolot emas dalam 100 ela, 220 ela, 440 ela, 880 ela, satu batu, rentas desa, lompat jauh dan lompat kijang.”
 
Ketika menjadi guru di King George V di Seremban, Abdul Rahim turut menyarung jersi pasukan ragbi Negeri Sembilan All Blues.
 
Menceritakan kejayaannya mengutip pingat di Tokyo, Abdul Rahim yang juga adik kepada Naib Canselor Universiti Malaya, Allahyarham Tan Sri Abdullah Sanusi, mengimbas:
 
“Enam bulan sebelum Sukan Asia, saya cedera di lutut gara-gara kemalangan motorsikal. Saya bekerja keras untuk kembali cergas dan menghidupkan impian ke Tokyo. Saya sesungguhnya bertuah kerana saya sebenarnya menghabiskan larian di tangga keempat.
 
“Milkha Singh, Daljit Singh dan Pablo Somblingo dari Filipina adalah tiga lari terpantas tetapi Daljit didapati memasuki lorong sebelah dalam. Penyertaannya dibatalkan, maka saya diberi pingat gangsa. Catatan 48.8 saat ketika itu menjadi rekod peribadi saya.
 
Untuk layak ke Melbourne sebelum itu, Abdul Rahim meleburkan rekod L.D.E Cullen yang bertahan 25 tahun dengan mencatat 49.9 saat dalam 440 ela, sekali gus menjadi anak Malaya pertama memecah tembok 50 saat acara itu.
 
Turut menjadi sumber kebanggaan Abdul Rahim ialah detik mengetuai skuad olahraga negara ke Sukan Asia di Jakarta 1962 yang diwarnai pingat perak kuartet 4x400m yang dianggotai Karu Selvaratnam, Abdul Rahim sendiri, Asir Victor dan M. Jegathesan (kini Tan Sri Dr).
 
“Kami ketinggalan tiga saat di belakang kuartet India yang diketuai pelari keempat terpantas dunia waktu itu, Milkha Singh.”
 
Catatan sejarah ini kian dilupakan. Hanya kelompok kecil yang mahu mengenang jasa dan mengingati sumbangan generasi terdahulu.
 
Semoga Allah merahmati roh Allahyarham Abdul Rahim.
 
 
BIODATA
 
NAMA: Datuk Abdul Rahim Ahmad
 
TARIKH LAHIR: 9 Jun, 1933
 
MENINGGAL DUNIA: 23 Disember, 2017
 
PENCAPAIAN: Mewakili negara di Sukan Olimpik Melbourne (1956), Sukan Asia Tokyo dan Sukan Komanwel Cardiff (1958), Sukan SEAP Rangoon (1961), Sukan Asia Jakarta (1962).
 
PENDIDIKAN: Diploma Sains Sosial, Universiti Malaya (1960-62)
 
1953-56: Guru di King George V, Seremban
 
1956-66: Pegawai Kebajikan Sosial, Kuala Kangsar, Teluk Intan, Kuala Pilah
 
1967-72: Pengarah, Kebudayaan, Belia dan Sukan Pahang
 
1972-74: Pengarah, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan
 
1974-79: Pengarah, Kebudayaan, Belia dan Sukan Selangor
 
1979-85: Penolong Ketua Pengarah Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
 
1986-88: Ketua Pengarah Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen