Badminton penutup cerita Gold Coast

Oleh Suzana Basri 15 April 2018 3107
Badminton penutup cerita Gold Coast
Puas? Ye, saya dan pastinya ramai lagi yang menjadi saksi pingat emas ketiga peribadi Datuk Lee Chong Wei di Sukan Komanwel mengalirkan air mata kegembiraan sebaik pengulas Astro Arena, Hj Shaukei Kahar melaungkan kejayaan itu tetapi jauh disudut hati, saya tidak dapat menyembunyikan kerisauan tentang perkembangan badminton negara selepas ini dengan pasukan India nampaknya seakan tiada masalah untuk mencabar di Piala Thomas pada Mei nanti.

Kenapa? 9 April 2018 - Tarikh yang mengejutkan saya apabila tugasan Liputan Harian Sukan Komenwel 2018 perlukan pertukaran "mood" dengan pingat emas yang diharapkan menerusi acara berpasukan campuran disangkal pasukan India. 

Ini adalah kali pertama India meraih pingat emas dalam acara ini kerana sebelumnya ia dikuasai sama ada England mahu pun Malaysia yang seringkali menampilkan wakil mantap dalam kebanyakan kategori.

Ketika dominasi Malaysia sejak di Melbourne 2006 menerusi acara ini berakhir di Gold Coast, India rupanya memiliki hasrat lebih besar - mencabar kedudukan Malaysia di "hall of fame" badminton Komanwel.

Malaysia tidak pernah gagal membawa pulang sekurang-sekurangnya satu pingat emas sejak mula bertanding pada 1966. Ketika itu di Kingston, Jamaica - kejohanan yang sebelumnya dikenali sebagai Sukan Komanwel dan Empayar British menyaksikan Tan Aik Huang memecah dominasi England apabila membawa pulang pingat emas perseorangan lelaki dan beregu lelaki bersama gandingannya, Yew Cheng Hoe.

Sejak itu, kontinjen negara terus meletakkan sandaran pingat emas kepada pemain badminton negara, tidak kira pada zaman Ng Boon Bee, Punch Gunalan, Ong Beng Tiong mahu pun adik beradik Sidek kerana hanya sukan ini mampu membuktikan wibawa Malaysia di pentas Komanwel.

Rashid Sidek menjadi pemain badminton pertama negara yang berjaya mempertahankan pingat emas dalam dua edisi berturut-turut, iaitu pada 1990 dan 1994 ketika badminton negara berada di zaman kegemilangan dengan kejayaan termasuk menjulang Piala Thomas 1992.

Pencapaian sama dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada edisi di Melbourne dan New Delhi - meneruskan penanda aras baru yang diletak kem badminton negara selepas menyumbang 3 pingat emas pada 2002.

New Delhi bukan sahaja edisi pertama Malaysia cipta sejarah dengan 12 pingat emas tetapi badminton hampir sahaja mencetak sejarah tersendiri untuk sumbangan pingat emas keempat dari perseorangan wanita. Persaingan sengit dengan pemain India, Saina Nehwal bagaimanapun gagal memihak Wong Mei Choo di pentas final.

Kini, pada edisi ke-21 - gelaran perseorangan wanita kembali milik Saina, dengan pasukan India tampil pesona luar biasa sebagai amaran bahawa mereka sedia menjadi kuasa besar badminton ketika Malaysia pula masih mengharapkan sumbangan pingat emas untuk kem badminton negara tidak pulang dengan tangan kosong dari Gold Coast, menerusi jerih perih Datuk Lee Chong Wei untuk emas keenam kontinjen Malaysia.

Buat masa ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Gold Coast untuk pengalaman berharga sepanjang 11 hari penganjuran temasya yang akan saya kenang selamanya. Alhamdulillah salah satu impian saya sudah tercapai, bohong kalau saya katakan tidak pada cabaran di pentas Olimpik pula selepas ini tetapi banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari seperti pesanan kedua kekanda, Hafizal Hamad dan Akbar Sahari. Jadi, teruskan menjadi tulang belakang saya dalam perjuangan ini dan terima kasih kerana bersama Astro Arena sepanjang Sukan Komanwel Gold Coast 2018. G'day mates! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen