Azizulhasni gapai pelangi juga akhirnya

Oleh Hishamuddin Aun 14 April 2017 386
 Azizulhasni gapai pelangi juga akhirnya
“Akhirnya, Awang mendapat jalur-jalur pelangi yang dicari-carinya… dan Malaysia memiliki seorang juara dunia.”

Ulasan pengulas televisyen pada penghujung perlumbaan final keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong malam tadi, menyimpulkan kejayaan paling bermakna buat Azizulhasni Awang sebagai memuktamadkan penantian 10 tahunnya untuk menakluki puncak dunia dalam acara berbasikal.

Bukan pun menghairankan jika ketika bersedia sebaris dengan Fabian Hernando Puerta Zapata (COL), Tomas Babek (CZE), Matthew Glaetzer (AUS), Pavel Kelemen (CZE) dan Marc Jurczyk (GER) di garisan permulaan, The Pocket Rocketman yang lebih menjadi tumpuan.

Kebetulan Zapata adalah satu-satunya pelumba lain yang kekal daripada final acara keirin Sukan Olimpik Rio tahun lalu – Azizulhasni ketika itu meraih gangsa di belakang Jason Kenny (GBR) dan Matthijs Buchli (NED) – untuk dibimbanginya.



“Awang telah mencuba untuk memenangi gelaran ini selama bertahun-tahun. Dia menang gangsa di Rio, gangsa buat dua tahun terakhir ini. Ini adalah peluang terbesar buat Awang untuk meraih gelaran dunia,” cetus pengulas itu sebelum wisel permulaan ditiupkan.

“Tinggal tiga pusingan lagi, mereka amat rapat antara satu sama lain. Ia satu detik yang sangat, sangat besar buat pelumba-pelumba ini.”

Menduduki tempat ketiga sejurus pegawai pemacu ‘derny bike’ meninggalkan trek ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan lagi, Azizulhasni kemudian mendapati dirinya berada di kedudukan corot dalam kelompok enam pelumba.

Harus ingatan bagaimana dia dihimpit dalam final acara sama dalam Sukan Olimpik Rio tahun lalu, menyentak Azizulhasni untuk segera bertindak. Dan itulah yang dilakukannya.

Sambung pengulas itu: “Dua pusingan lagi, perhatikan Awang di sebelah luar (di sebelah kanan sekali dari garis paling dalam di trek), Awang akan melepaskan dirinya.

“Awang sedang menuju kepada ini… Awang sedang menuju kepada sebutir pingat… Awang akan menjadi juara dunia.

“(Lihatlah) Awang melakukan  ‘wheelie’ di garisan penamat untuk mengesahkan kejuaraan dunia miliknya – ‘wheelie’ itu adalah 'trademark'nya.

“Dia akhirnya meraih jalur-jalur pelangi.  Awang dari Malaysia meraih gelaran keirin dunia… dan dia akan meraikannya sepanjang malam.

(Jersi pelangi adalah anugerah UCI kepada juara semasa dunia dalam sebarang disiplin perlumbaan sejak 1927. Jersi itu rata-ratanya berwarna putih dengan lima jalur melintang di dada mengikut warna-warna UCI. Dari bawah, jalur-jalur itu adalah hijau, kuning, hitam, merah dan biru – warna-warna sama dalam gelung-gelung bendera Olimpik.)

(Tradisi ini diguna pakai bagi semua disiplin perlumbaan – termasuk perlumbaan jalan raya, trek, cyclo-cross, BMX, ujian masa dan juga basikal bukit.)

(Seorang juara dunia diwajibkan memakai jersi pelangi ini apabila bertanding dalam disiplin atau kategori sama yang dimenanginya. Jersi pelangi ini akan memudahkan seorang juara dunia dikenali oleh penonton. Kegagalan menyarung jersi pelangi ini di mana ia diwajibkan boleh membawa denda 2,500-5,000 Swiss franc.)

“Ia satu kemenangan hebat oleh Awang. Dia telah melakukan sehabis dayanya untuk cuba memenangi gelaran ini – ia sangat, sangat berhak dimilikinya.

“Dia tidak dapat mempercayainya (Azizulhasni seakan-akan menggeleng-geleng), dia tidak akan melupakan trek di Hong Kong ini.

“Awang mendapat kemenangan mutlak. Dia menyedari ini adalah detik terbesar buatnya. Dia tidak mempunyai (pelumba Jerman, Joachim) Eilers untuk dibimbangi. Dia hanya perlu berkayuh untuk perlumbaannya sendiri.

“Dan dia memberikan segenap daya kekuatannya. Awang menang barangkali dengan jarak tiga atau empat basikal.

“(Kesudahannya), satu perlumbaan yang sangat, sangat menakjubkan. Tapi Awang… lihatlah betapa pantasnya dia. Tiada sesiapa yang mampu mendekatinya.

“Akhirnya, dia mendapat jalur-jalur pelangi yang dicari-carinya… dan Malaysia ada seorang juara dunia,” kata pengulas itu mengakhiri ulasannya.

Azizulhasni melakukan beberapa pusingan kemenangan dengan tubuhnya berbalutkan bendera Malaysia sambil jurulatihnya, John Beasley, terloncat-loncat kegembiraan.

Kesudahannya, di atas podium, Azizulhasni mungkin berdiri hanya di paras bahu Zapata dan Babek yang mengapitnya selaku pemenang tempat kedua dan ketiga, tapi The Pocket Rocketman membuat kedua-dua pesaingnya itu berasa kerdil dengan kejaguhannya.

Malaysia turut tumpang berbangga memilikinya.



 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen