Azizul menang hati peminat

Oleh Bazly Azmi 7 April 2018 6504
Azizul menang hati peminat
Banyak pertikaian ketika saya mengendalikan program Analisis Nadi selepas pelumba trek negara, Azizulhasni Awang tewas pada final acara keirin Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Persoalan yang ditimbulkan adakah patut seorang atlit menyertai kejohanan ketika berdepan masalah kesihatan?

Ini soal masa depan karier atlit kerana paru-paru Azizul, bekas juara keirin dunia yang dijangkiti virus sekaligus situasi mengancam nyawanya.

Saya timbulkan mengenai pelari pecut Jamaica, Asafa Powell yang menarik diri acara riben biru kerana kecederaan hamstring. Seorang atlit bertaraf bintang yang sanggup tarik diri walaupun lebih terkenal berbanding Azizul.

"Ada atlit yang sentimental. Malaysia letak harapan dibahu Azizul dan dia tahu perkara itu. Andai kita memiliki ramai pelumba setarafnya, maka saya fikir Azizul tidak akan teragak-agak tarik diri.

"Dia juga tidak pernah menang pingat emas Sukan Komanwel, ini mungkin peluang terakhir untuknya. Maka saya fikir, keputusan itu terpulang kepada atlit," kata pemerhati, Muhammad Rizal Hashim.

"Institut Sukan Negara (ISN) perlu buat keputusan. Sama ada hantar atau tidak. Jika apa-apa berlaku kepada Azizul, maka ia akan menjejaskan imej sukan Malaysia.

"Perkara ini perlu dibincangkan secara serius selepas tamat Sukan Komanwel. Jangan biar atlit saja yang buat keputusan," kata seorang lagi panelis, Asan Ahmad.

Saya melihat semula komen Azizul - dia akui hampir sesak nafas.

"Saya cuba paksa diri. Tapi pada hujung perlumbaan, saya sudah tidak bertenaga. Ia seperti duduk dalam satu ruang kecil dan melakukan senaman hingga sukar bernafas.

"Ini saja yang mampu saya lakukan untuk hari jadi jurulatih saya (John Beasley)," kata Azizul.

Saya fikir rakyat Malaysia faham. Tiada pula yang menyalahkan Azizul di media sosial.

Dia tidak perlu minta maaf kerana raih tangga keenam keirin. Matt Glaetzer (Australia) menang pingat emas tetapi Azizul sekali lagi, memenangi hati rakyat Malaysia! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen