Azizul dan putaran roda basikalnya

Oleh Rozaini Ahmad 17 August 2016 1370
Azizul dan putaran roda basikalnya

Terdetik di hati betapa tinggi pengorbanan pelumba trek negara, Azizulhasni Awang, walaupun hanya meraih pingat gangsa di sukan Olimpik Rio, Brazil. Ada yang mengkritik ada yang menyokong, ada yang berdiri di belakang mereka dan tidak kurang yang memandang sinis.

Tetapi apabila tamatnya perlumbaan final acara keirin yang berintensiti tinggi di Velodrom Olimpik Rio, Azizul seperti meluahkan segala-galanya ketika dia baru tamat berjuang untuk negara tercinta.

Rupa-rupanya dalam diam,  dia memendam perasaan, kedua-dua anaknya silih berganti dimasukkan ke hospital di Ipoh, Perak, kali pertama ketika dia tiba di Rio dan anak keduanya menyusul selepas itu. Bapa mana yang tak rindukan anak dan kebimbangan mana yang tidak bermain difikiran seorang bapa ketika memikirkan isterinya yang menjalankan segala tanggungjawabnya ketika dia beribu batu jauh dari Malaysia.

Saya menjadi sebahagian daripada anggota media yang sering mengikuti perkembangan prestasi Azizul di peringkat sukan temasya. Sukan Komanwel New Delhi 2010, dia menggegarkan trek di New Delhi, di samping seniornya Josiah Ng, tetapi dia yang bertubuh kecil dan terkenal dengan agresif dan ‘explosive’ nya dibatalkan kemenangan ketika itu. 

Sukan Asia Guangzhou 2010 menjadi kemuncak dengan meraih pingat emas. Ingat lagi masa tu perlumbaan penuh drama dengan insiden kemalangan. Olimpik London 2012, dia ke final acara keirin tetapi tercorot. Semua mula gusar apabila ketika di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan 2014, dia dibatalkan sekali lagi di final.

Betapa perjalanan kariernya macam putaran roda basikal yang dikayuhnya.  Apa yang saya nampak di Rio kali ini, Azizul cukup matang, penuh kesabaran , tunggangannya penuh berstrategi dan cukup sabar  berbanding darah mudanya dahulu.      

Cabarannya dari pusingan awal lagi, terpaksa lalui pusingan repechage, tempat ketiga di separuh akhir dan kemuncaknya di final yang boleh buat jantung rakyat Malaysia berhenti seketika, gara-gara hampir dikenakan tindakan ‘false start'. Ketika itu awal pagi di Malaysia, saya pasti yang tengah bersiap ke tempat kerja pasti ada yang berhenti menantikan detik perlumbaan itu.

Pengakhirannya pingat gangsa  di peringkat Olimpik Rio. Mahal harga gangsa yang diraihnya . Malah The pocketrocketman melaungkan betapa Olimpik Tokyo 2020, kekal menjadi pentas buruan emasnya di peringkat Olimpik walau sudah dipanjat usia ketika itu. 

Harapnya roda kayuhannya ketika itu, membawa kepada pusingan pingat emas, selepas muncul satu-satunya pelumba benua Asia yang beraksi di pentas final Keirin Olimpik Rio.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen