Ayuh banggakan nama Malaysia!

Oleh Mirnawan Nawawi 23 April 2019 500
Ayuh banggakan nama Malaysia!
Penjaga gol skuad hoki negara, Mohammad Hairi Abdul Rahman, tidak seharusnya mensia-siakan peluang terbaiknya dalam Final Siri Hoki Dunia, bermula Jumaat ini.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu merupakan pusingan kelayakan awal Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Hairi terpilih bersama-sama seorang lagi penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman, selepas pilihan utama, S. Kumar, masih belum pulih daripada kecederaan.

Saya berasakan situasi ini memberikan faedah buat Hairi untuk menempa nama selaku benteng terakhir harapan negara seperti selalu ditunjukkan Kumar dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Peranan dan tanggungjawab Hairi amat besar dalam kejohanan ini kerana hanya dua slot ditawarkan untuk beraksi dalam pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Meskipun Malaysia tetap akan layak, tetapi kejayaan sebagai dua pasukan terbaik atau lebih manis muncul juara akan memperbaiki kedudukan ranking dunia skuad kebangsaan.

Saya melihat jika ranking dunia meningkat, ia bermakna Malaysia berpeluang menentang lawan yang mungkin setaraf atau tidak terlalu handal dalam pusingan akhir kelayakan sekitar September dan Oktober nanti.

Bagi saya, pemilihan 18 pemain terbaik ketua jurulatih, Roelant Oltmans, untuk kejohanan ini sudah yang terbaik kerana tiga tonggak utama kembali menyarung jersi Malaysia.

Skuad negara pastinya merindui kelibat kapten, Mohamad Sukri Mutalib, yang cedera sebelum ini.

Penyenaraian semula dua flicker, Muhammad Shahril Saabah dan Syed Syafiq Syed Cholan memberikan lebih banyak pilihan kepada skuad negara dari segi pukulan sudut penalti.

Jika mengikut kemampuan 18 pemain yang dipilih ini, saya tanpa ragu-ragu amat yakin kemenangan mampu menjadi milik skuad negara tetapi dengan syarat mereka perlu mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang tidak sepatutnya.

Saya juga berharap dengan faktor beraksi di rumah sendiri sambil mendapat sokongan padu penyokong tanah air, barisan pemain dapat memberikan aksi terbaik sekali gus membanggakan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen