Aura Zidane dikhaskan untuk Les Bleus

Oleh Rizal Hashim 3 June 2018 4529
Aura Zidane dikhaskan untuk Les Bleus
ZINEDINE Zidane memang dikenali dengan ketepatan waktunya.

Sama ada ketika menyempurnakan dua tandukan hasil daripada sepakan penjuru ketika membuka laluan untuk Perancis menjulang Piala Dunia 1998, atau menyambut umpanan lambung Roberto Carlos lalu meledakkan rembatan kaki kiri ketika Real Madrid menumpaskan Bayer Leverkusen pada final Piala Eropah 2002.

Walhal Zidane tidak suka menggunakan kepalanya, sehinggalah diserapkan ke dalam akademi Cannes. Juga Zidane seorang berkaki kanan secara semula jadi.

Ramai tidak sedar Zidane menjadi pemain gantian, menggantikan Corentin Martins pada minit ke-62, lalu merakam dua gol pada penampilan sulungnya bersama Perancis, memastikan Les Bleus mengelak aib ketinggalan dua gol pada perlawanan persahabatan musim panas dengan Republik Czech.

Menerima hantaran Laurent Blanc, Zidane mengelak terpaan Lubos Kubik, memperdaya Thomas Repka sebelum meledakkan gol rembatan kaki kiri menewaskan Petr Kouba pada minit ke-85. Dua minit kemudian, Zidane menanduk gol penyamaan dari jarak 10 meter hasil sepakan penjuru Jocelyn Angloma.

Lantas Zidane mengumumkan kehadirannya sebagai pemain yang mampu menterjemah impian, sambil berkongsi padang dengan dua legenda waktu itu - Eric Cantona dan David Ginola - pada malam 17 Ogos, 1994, di Parc Lescure, Bordeaux, gelanggang kelab pemain berketurunan Algeria itu.

Dalam kehangatan permainan, tentu sekali Zidane dituntut membuat keputusan sepantas kilat. Pemain bertaraf legenda sepertinya bijak membuat keputusan yang betul pada detik yang tepat.

Begitu juga hakikatnya apabila Zidane menggemparkan dunia dengan mengumumkan peletakan jawatan selaku pengurus Real Madrid, hanya lima hari selepas menjulang Piala Eropah buat kali ketiga berturut-turut. Zidane keluar daripada kitaran kejayaannya di puncak tertinggi.

Kerana dia sedar segala-galanya di Real akan tergelungsur ke bumi.

Jika anda perasan, tidak ramai pemain Real yang memeluk Zidane dengan erat sesudah kemenangan 3-1 ke atas Liverpool di Kiev. Mereka hanya menjulangnya dalam satu tradisi lazim sesudah menjulang piala.

Zidane sedar bilik persalinan yang dipenuhi ego sukar dikawal, apatah lagi tiada lagi yang menjadi motivasi untuk sebuah pasukan yang sudah memenangi sembilan gelaran dalam tempoh 29 bulan, termasuk La Liga sekali, tiga Piala Eropah dan dua Piala Kelab Dunia.

Bukan sahaja Zidane pening memikirkan masa depan Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan individu-individu yang kian dimamah usia seperti Marcelo, Karim Benzema dan Sergio Ramos, bahkan pengaruhnya dalam bilik lembaga pengurusan tertinggi juga hampir kosong.

Pengerusi Real, Florentino Perez, yang secara peribadi was-was akan kebolehan Zidane mengurus kelab itu di sebalik pengumuman pelantikannya pada Januari 2016, mengumumkan hasrat melamar Neymar, sedangkan si pengurus tidak bersetuju.  

Dalam bola sepak moden, seorang jurulatih hanya mampu membawa keputusan jika dapat memastikan bilik persalinannya tiada konflik. Sama ada konflik dalam kalangan pemain, atau hubungan di antara pemain dan jurulatih.

“Kelebihan Zidane adalah rasa hormat pemain terhadapnya dan hubungan baik sesama mereka. Walaupun ramai jurulatih yang kaya pengalaman dan lebih berpengetahuan, hubungan intim di antara jurulatih dan pemain penting di Real Madrid dan Zidane menepati ciri-ciri itu,” kata bekas bosnya, Carlo Ancelotti.

Biarpun dilayangkan kad merah sebanyak 14 kali sepanjang kerjayanya, Zidane kelihatan tenang sama ada dalam sidang media mahupun di tepi padang.

Ketenangan ini dipindahkan kepada pemainnya.

Tentunya deretan kejayaan di Real menjadi modal untuk Zidane dilobi menggantikan Didier Deschamps selaku pengurus Perancis.

Sebagai pemain Deschamps seorang pemimpin, lantang dalam bilik persalinan dan pakar merebut bola, bijak membuat umpanan, tekun dan disiplin dari segi taktikal – ciri-ciri yang digemari seorang jurulatih.

Selaku pengurus, Deschamps dianggap konservatif, pilih kasih (dalam kes Benzema) dan tidak mampu memikirkan posisi terbaik untuk Paul Pogba dalam menyediakan peluru untuk Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Antoine Griezmann atau Olivier Giroud.

Ujian terakhir untuk Deschamps hadir di Russia nanti.

Sekalipun Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) Noel le Graet menegaskan Deschamps terikat dengan kontrak sehingga 2020, tekanan berganda akan dikenakan terhadap persekutuan itu andai Deschamps dan Perancis tidak mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam Piala Dunia 2018.

Biarpun seorang pemalu yang kurang berkata-kata, aura Zidane kuat. Tentunya ia dikhaskan untuk barisan Les Bleus yang mengangkat namanya selaku juara dunia dan juara Eropah satu ketika dahulu, bukan Qatar yang dikaitkan dengan usaha memancingnya bagi membantu misi 2022..
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen