Atletico Madrid cuba resipi baru 

Oleh Shaiful Shamsudin 31 March 2019 507
 Atletico Madrid cuba resipi baru 
Persoalan mengenai siapakah yang harus mengetuai jentera serangan Atletico Madrid musim ini menarik perhatian ramai. 

Kelibat Antoine Griezmann di barisan hadapan Atleti tidak perlu lagi diperkenalkan, ditambah pula dengan reputasinya sebagai peledak berbisa dalam Piala Dunia 2018. 

Begitupun, langkah Atleti menyambar Alvaro Morato daripada Chelsea, Januari lalu, mencetuskan tanda tanya memandangkan skuad kendalian Diego Simenone itu memiliki barisan penggempur yang sudah memiliki nama besar. 

Simeone terpaksa mengambil percaturan berisiko berikutan ayam tambatannya, Diego Costa, sedang berperang dengan prestasinya selain dibelenggu kecederaan sementara Nikola Kalinic, yang dibawa masuk daripada AC Milan, pula gagal merebut tempat dalam dan situasi itu hingga merunsingkan Los Rojiblancos. 

Tetapi ketika bertandang ke Stadium Mendizorrotza yang menyaksikan Alaves dibenam 4-0 malam tadi, Simeone mengambil kesempatan itu untuk memenuhi impian penyokong. 

Alaves wajar dihormati musim ini berikutan berpeluang untuk meraih tiket pertandingan Eropah musim depan. Mereka menduduki tangga kelima sementara kempen LaLiga berbaki sembilan perlawanan lagi. 

Buat julung kalinya musim ini, pengendali kelahiran Argentina itu menggandingkan Griezmann, Costa dan Morata dalam kesebelasan utama. 

Dengan Morata dan Costa bergandingan di pusat serangan, Griezmann diberi peranan lebih besar di sebalik memulakan aksi di bahagian sayap manakala Saul Niguez menampung sayap kiri. 

Saul, Costa, Alvaro dan Thomas Partey masing-masing merakamkan satu gol dalam aksi yang dilabel antara persembahan terbaik Atleti musim ini. 
 
Biarpun nama Griezmann tidak dicatatkan selaku penjaring, dia merupakan nadi utama menggerakkan jentera serangan Atletico, cuma tidak bernasib baik apabila bola yang disungkitnya sudah melepasi penjaga gol sebelum dinafikan tiang. 

Ia seharusnya menjadi perkembangan yang menggembirakan buat Simeone yang masih segar meraikan kontrak baru. 

Selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL), tumpuan utama skuad bimbingannya adalah untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu LaLiga, Barcelona, biarpun memiliki jurang 10 mata tetapi dalam masa yang sama, sudah boleh mencongak pelan tahun hadapan. 


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen