Arus Perubahan di Manchester

Oleh Syamil Izwan Azizan 21 May 2018 4019
Arus Perubahan di Manchester
Kekalahan 0-1 kepada Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA tempoh hari menyaksikan Manchester United terpaksa akur menamatkan musim 2017/2018 tanpa sebarang kejuaraan.

Ia susulan kedudukan kedua yang diraih skuad kendalian Jose Mourinho dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana mereka tidak dapat menyaingi kehebatan pasukan jiran, Manchester City.

City di bawah kendalian Pep Guardiola mempamerkan antara persembahan yang mengagumkan sepanjang musim ini dengan beberapa rekod pertandingan berjaya dipecahkan.

Jurang antara kedua-dua pasukan ini amat ketara meskipun tidak dinafikan City berbelanja besar untuk menambah beberapa muka baharu pada awal musim.

Namun United juga secara keseluruhannya telah mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi dalam usaha mereka menyaingi kemampuan City tetapi ia gagal diterjemahkan dengan persembahan yang konsisten di atas padang.

Lantas kini arus perubahan sudah mula bertukar dengan City dilihat pasukan lebih dominan di Manchester dan ini pastinya akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat setia The Red Devils.

Mourinho dilaporkan sudah mula mengenalpasti siapa pemain yang ingin dibawa masuk menjelang musim baharu EPL nanti dalam percubaan untuk menggugat dominasi City.

Penulis melihat persaingan sengit antara kedua-dua pasukan ini sesuatu yang baik apatah lagi Mourinho sudah tentu tidak ingin terus ketinggalan berbanding Guardiola yang sudah beberapa kali mengatasi pengendali kelahiran Portugal itu.

Pada masa sama kedua-dua pasukan ini juga perlu waspada dengan beberapa lagi pasukan yang pastinya akan memberi cabaran antaranya Liverpool, Chelsea, Arsenal dan juga Tottenham Hotspur.

Apa pun, kita alihkan tumpuan dahulu kepada saingan Piala Dunia di Russia pada Jun ini sebelum merasai kembali kemeriahan musim baharu saingan EPL musim 2018/2019.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen