Arsenal, Chelsea terdesak lakar kejuaraan Liga Europa

Oleh Dayang Zainatull 3 May 2019 1052
Arsenal, Chelsea terdesak lakar kejuaraan Liga Europa
Arsenal dan Chelsea, dua wakil Liga Perdana Inggeris yang masih lagi berada dalam saingan Liga Europa dilihat terdesak mahu mara ke pentas final dan dijulang selaku juara. Ini kerana, pasukan yang memenangi kejuaraan Liga Europa, akan mendapat slot automatik ke Liga Juara Juara Eropah, tanpa mempedulikan kedudukan di dalam saingan liga.

Ketika ini, prestasi Arsenal di saingan liga dilihat begitu merudum dengan tewas tiga perlawanan terakhir selain bolos sembilan gol. Satu keputusan yang begitu mengejutkan disaat mereka amat-amat memerlukan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan empat teratas liga. Dua perlawanan terakhir di liga menyaksikan The Gunners bakal berdepan Brighton & Hive Albion dan Burnley dimana, andai gagal mengutip mata maksima, kemungkinan besar mereka tidak mampu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di liga.

Walaubagaimanapun, kejayaan menumbangkan Valencia 3-1 di separuh akhir pertama Liga Europa memberikan sedikit kelegaan buat pengurus mereka, Unai Emery, kerana bekalan selesa yang dimiliki telah membawa Arsenal selangkah ke pentas final.

Bagi skuad bimbingan Maurizio Sarri pula, kemerosotan prestasi Arsenal telah membantu mereka untuk melonjak ke tangga keempat dengan 68 mata. Tidak mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir liga, Chelsea  akan berdepan Watford dan Leicester City untuk baki dua perlawanan terakhir liga. 

The Blues turut berada dalam prestasi tidak menentu di liga namun seperti Arsenal, mereka bernasib baik berjaya mengikat Eintracht Frankfurt satu sama di laman lawan untuk separuh akhir Liga Europa. Kelebihan jaringan di tempat lawan memberi sedikit kelegaan buat skuad Chelsea untuk pertemuan kedua nanti. 

Jika dilihat kedudukan terkini, Chelsea berpeluang cerah kekal di tangga keempat liga, namun cabaran dari Arsenal dan United tidak boleh dipandang enteng kerana liga perdana inggeris sentiasa menjanjikan kejutan. Tambahan pula, jika Arsenal menamatkan liga di tangga kelima, tetapi muncul pemenang Liga Europa, slot ke UCL akan menjadi milik pemenang Europa dan Chelsea di tangga keempat tidak akan bermain playoff UCL kerana hanya ada empat wakil sahaja dari Liga Perdana Inggeris.

Jadi secara tidak langsung, kedua-dua pengurus pasti peka betapa mereka amat memerlukan kejuaraan Europa berbanding kedudukan di liga kerana untuk situasi ini, kejuaraan Liga Europa menjadi lebih penting dari kedudukan liga.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen