Arab Saudi terkedu

Oleh Hasnizam Uzir 15 June 2018 530
Arab Saudi terkedu
Sorakan yang bergema di Stadium Luzhniki Moscow dalam perlawanan pertama Piala Dunia 2018 yang membabitkan pasukan tuan rumah, Russia, menentang Arab Saudi dalam kumpulan A memberi satu semangat dan kekuatan kepada Russia bagi menampilkan aksi yang bertenaga.

Sebelum ini, pasukan itu dikecam oleh peminat-peminat mereka sendiri semasa membuat persiapan Piala Dunia, dimana Russia yang dikendalikan oleh Cherchesov Stanislav tidak memberikan keputusan yang baik sepanjang persiapan pasukan Russia.

Bagaimanapun, semasa perlawanan pembukaan itu agak berbeza sekali persembahan anak-anak buah Cherchesov dengan formasi 4-4-1-1 yang amalkan telah memberi kelebihan kepada Russia dimana mereka dapat mengekalkan falsafah permainan sehingga memberi tekanan kepada pasukan Arab Saudi. Dengan corak permainan menyerang secara pergerakan berperingkat-peringkat dengan hantaran-hantaran pendek kehadapan dan sekali sekala melakukan serangan balas yang pantas itu memberi kelebihan kepada Russia.

Lihat sahaja bagaimana pemain-pemain Russia menunjukan taktikal disiplin yang tinggi baik ketika menyerang dan bertahan sehingga sukar anak-anak buah Juan Antonio Pizzi untuk melakukan serangan dengan kreatif. Sekiranya hilang sahaja bola pemain penyerang Russia Fedor Smolov akan terus memberi tekanan awal diikuti pemain-pemain lain dibahagian midfield sehingga menyukarkan Arab Saudi untuk menyerang kerana kesemua pemain Russia berada dibelakang bola untuk bertahan.

Kegagalan pasukan Arab Saudi untuk menstabilkan dan keseimbangan pasukan mereka itu telah diambil kesempatan oleh pasukan tuan rumah Russia dimana pada minit ke 12 jaringan pertama berjaya dilakukan oleh Iury Gazinskii melalui tandukan setelah mendapat hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Arab Saudi dari pemain midfield Roman Zobnin. Jaringan itu telah meningkatkan semangat pemain-pemain Russia untuk terus memburu jaringan dan akhirnya gol kedua diperolehi pada minit ke 42 oleh pemain gantian Denis Cheryshev setelah mengantikan penyerang berpengalaman Russia Alan Dzagoev akibat kecederaan itu dengan tenang memperdayakan dua pertahanan Arab Saudi sebelum merembat masuk dari sudut yang kecil.

Dalam separuh masa kedua, Arab Saudi cuba bangkit untuk mencari gol, sebaliknya Russia terus memberi tekanan dan akhirnya mereka berjaya mendapatkan tiga gol dalam separuh masa kedua melalui jaringan Artem Dzyuba, Denis Cheryshev dan Aleksandr Golovin. Kemenangan yang besar ini sudah pasti meningkatkan keyakinan kepada pemain-pemain Russia sebelum berhadapan dengan Mesir dan Uruguay. Ini permulaan yang baik untuk Russia sementara Arab Saudi perlu bangkit pada perlawanan kedua sekiranya ingin membuka peluang ke peringkat seterusnya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen