Apa peluang Ronaldo di Russia?

Oleh Suzana Basri 13 June 2018 4816
Apa peluang Ronaldo di Russia?
Cristiano Ronaldo antara watak penting yang saya nantikan di Piala Dunia Russia. Klise? Saya tak kisah kerana cerita berkisar pemilik nama Cristiano Ronaldo Dos Santos Aveiro ini selalunya menarik dengan cetakan rekod yang menakjubkan, bukan berkisar tentang ketampanan dan gayanya sahaja.

Saya mula mengikuti perkembangan Ronaldo sejak dia bersama Manchester United sekitar 2003, tahun sama dia mula mendapat kepercayaan membarisi skuad senior negara kelahirannya, Portugal. Ketika itu, saya sudah pun tertarik menjadi sebahagian kecil penyokong Portugal di Malaysia kerana Luis Figo.

Pemilik jersi nombor tujuh sebelum Ronaldo ini boleh dianggap seorang kapten yang berjaya kerana mengetuai "golden generation" Portugal, memperbaharui pencapaian terbaik di dua pentas berprestij. Gagal membawa pulang sebarang trofi dengan kontroversi selepas muncul naib juara Euro 2004, namun kembali 2 tahun kemudian dengan melangkah ke separuh akhir Piala Dunia - pencapaian yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, cukup untuk Figo diangkat sebagai legenda Portugal dengan persaraan ketika genap 127 kap dan 32 gol.

Persaraan Figo dari pentas antarabangsa berlangsung dengan tenang kerana Ronaldo ketika itu sudah dilabel masa depan Portugal. Pada usia 21 tahun, Ronaldo membuka akaun jaringan di Piala Dunia pada pertemuan dengan Iran tetapi ia kekal rekod terbaiknya dalam 3 penampilan bersama Portugal - 2006, 2010 dan 2014 untuk keseluruhan 3 gol, satu rekod yang tidak menggambarkan kejagoan Ronaldo yang memegang gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan.

Persoalan inilah yang dinantikan jawapannya pada penampilan Ronaldo di Russia. Apakah penawar kepada badi gol piala dunianya sudah ditemui di Perancis dua tahun lalu? Kalau diintai jaringan yang terhasil pada pusingan kelayakan, agak memberangsangkan -- 15 gol daripada sembilan aksi berjaya dihasilkan Ronaldo.

Jika bersandarkan tanggapan ramai -- Ronaldo gilakan publisiti, sudah pasti Piala Dunia adalah pentas terbaik untuk Ronaldo curi tumpuan dengan memecah rekod jaringan antarabangsa milik Ferenc Puskas iaitu 84 gol, di mana pemain berusia 33 tahun ini perlu meledak empat gol untuk melepasi jumlah itu tetapi ia bukan tugas mudah. Ketika membawa Portugal muncul juara Euro 2014 pun, Ronaldo berjaya sumbang tiga gol sahaja. Jadi, apa peluang Ronaldo?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen