Apa lagi tak cukup, Red Devils?

Oleh 13 February 2018 12038
Apa lagi tak cukup, Red Devils?
Tiada peminat Manchester United yang gembira melihat pasukan kegemaran mereka tersungkur di St James Park pada lewat malam Ahad lalu tatkala harapan untuk menjarakkan mata dengan pasukan di kedudukan bawah mereka begitu luas.

Membawa masuk Paul Pogba dengan nilai GBP89 juta (RM485 juta) pada musim panas 2016, sebelum melengkapkan perpindahan GBP75 juta (RM409 juta) buat Romelu Lukaku pada musim berikutnya dan bersetuju untuk membayar Alexis Sanchez dengan gaji GBP350,000 (RM1.9 juta) seminggu, sudah tentu pelaburan United dalam mendapatkan pemain yang berkualiti tidak perlu dipersoal.

Bagaimanapun, mereka masih belum menemui tahap konsisten yang diharapkan, seperti apa yang dipamerkan musuh setempat, Manchester City. Jadi, di mana silapnya?

Ramai peminat bola sepak mempersoalkan tindakan Pep Guardiola melakukan “pembersihan” dalam musim pertamanya di Etihad apabila melepaskan Stevan Jovetic, Edin Dzeko dan Martin Demichelis sebelum membiarkan Bacary Sagna, Jesus Navas, Gael Clichy, Samir Nasri dan Aleksandar Kolarov pergi pada tahun berikutnya.



Mourinho juga mengambil langkah sama sejak tiba di Old Trafford apabila melepaskan Morgan Schneiderlin, Memphis Depay, Bastian Schweinsteiger dan Wayne Rooney.

Tanpa sedar, satu langkah sama dengan dua tujuan yang berbeza adalah slogan yang paling tepat untuk menceritakan tindakan kedua-dua pengurus itu.

Guardiola melakukan rombakan besar-besaran dengan membawa masuk hampir 12 pemain utama dalam masa dua tahun sementara Mourinho masih bergantung harap dengan pemain sejak zaman Sir Alex Ferguson.

Buktinya, Antonio Valencia, Chris Smalling, Phil Jones dan Ashley Young terpaksa dipertaruhkan di barisan bawah ketika menentang Newcastle United. Aksi Smalling dan Jones mengundang kritikan bekas pemain United, Phil Neville, apabila menyifatkan dua pertahanan itu tampak berada di bawah tekanan dan gementar sejak aksi berdepan Tottenham Hotspur pada 1 Februari lalu.

Sebenarnya, ada beberapa nama yang mungkin patut segera ditunjukkan jalan keluar dari Old Trafford, antaranya adalah Smalling, Jones, Daley Blind, Marouane Fellaini, Matteo Darmian dan Ander Herrera.



Walaupun komitmen yang mereka tampilkan tidak boleh dipertikaikan, tetap ada kekurangan yang harus pantas diperbaiki Mourinho. Mereka merupakan pemain yang bagus, namun harapan dan permintaan yang terlalu tinggi di United membuatkan mereka tidak mampu mengawal tekanan yang ada.

Tidak guna jika Mourinho melaburkan wang yang banyak untuk membawa masuk pemain hebat tetapi dalam masa sama, mengekalkan nama-nama yang mungkin sekadar memenuhi senarai pemain Manchester United.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen