Apa lagi tak cukup Real Madrid?

Oleh Nafis Abdullah 11 July 2019 10815
Apa lagi tak cukup Real Madrid?
Jika wujud persoalan pasukan mana di Eropah yang benar-benar sedar bahawa mereka melalui kempen terburuk bagi saingan 2018-19, Real Madrid adalah jawapannya.

Tidak membuang masa, skuad Los Blancos telahpun mendapatkan khidmat lima pemain baru walaupun jendela perpindahan masih berbaki kira-kira sebulan sebelum melabuhkan tirai. Malah, ada urusan yang dilengkapkan seawal Mac lalu.

Selepas mengesahkan kehadiran Eder Militao daripada FC Porto empat bulan lalu, ternyata pengendali, Zinedine Zidane, membuktikan kemahuannya mahu membina semula pasukan apabila mendapatkan tandatangan Luka Jovic (Eintranct Frankfurt), Eden Hazard (Chelsea), Ferland Mendy (Olympique Lyon) serta bintang muda berusia 18 tahun dari Brazil (Rodrygo Goes).



Jelas sekali keinginan Zidane kali ini untuk memperbaharui pasukan akhirnya terpaksa dituruti presiden, Florentino Perez, setelah pengendali dari Perancis itu bertindak meninggalkan Santiago Bernabeu selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut pertengahan tahun lalu.

Kemahuan Zidane sudah dipenuhi tetapi adakah segalanya sudah lengkap buat Real Madrid?

Posisi penjaga gol tampak terjamin tatkala wujudnya persaingan sihat di antara Thibaut Courtois dan Keylor Navas walaupun bintang Costa Rica itu pernah menyatakan hasrat untuk berpindah ekoran kekurangan waktu beraksi, lebih-lebih lagi selepas anak Zidane, Luca, kini dipinjamkan ke Racing Santander.



Namun, barisan pertahanan semestinya mencetuskan keraguan kerana ketika ini, Mendy berkemungkinan besar menjadi pemain tunggal di posisi bek kiri memandangkan Marcelo semakin hangat dikaitkan dengan penyatuan semula bersama Cristiano Ronaldo di Juventus tatkala Sergio Reguilon dipinjamkan ke Sevilla.

Bintang Manchester United, Paul Pogba, semakin kerap menjadi sebutan selaku nama seterusnya yang bakal hadir di Santiago Bernabeu tetapi segala urusan dilihat menemui jalan sukar kerana selain keengganan The Red Devils melepaskan tonggak Perancis itu dengan tanda harga kurang daripada GBP162 juta (RM837 juta), Zidane juga perlu melepaskan beberapa pemain atas faktor keseimbangan kewangan pasukan.



James Rodriguez, Gareth Bale, Isco dan Lucas Vazquez masing-masing seperti sudah ditunjukkan jalan keluar kerana gagal menarik perhatian Zidane tetapi setiap nama yang disebutkan payah mendapat majikan baru susulan gaji tinggi yang perlu dibayar.

Selain Pogba, beberapa nama lain turut dikaitkan untuk menyarung jersi Los Blancos seperti Christian Eriksen (Tottenham Hotspur) serta Neymar dan Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain (PSG). Namun, seperti dinyatakan di atas, segala perpindahan akan menemui kesukaran sekiranya tiada pemain yang dapat dilepaskan.



Atau mungkin Zidane terpaksa melupakan hasrat mengendalikan Pogba dan mula mencongak perancangan berdasarkan skuad terkini, termasuk mendapatkan sentuhan terbaik di antara Jovic dan 'anak emas' jurulatih itu, Karim Benzema, di barisan depan. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen