Apa lagi boleh Vingada buat?

Oleh Dayne Azmin 11 November 2017 738
Apa lagi boleh Vingada buat?
Sekali lagi skuad Harimau Malaya tewas! Walaupun langkah jurulatih, Nelo Vingada, berani dalam memberikan peluang kepada beberapa pemain muda turun beraksi, nyata perjudian itu tidak berbaloi apabila mudah diperkotak-katikkan Korea Utara melalui keputusan 4-1.

Barisan tengah dibarisi tiga pemain muda, Syamer Kutty Abba, Nazmi Faiz dan Afiq Fazail, terkial-kial menandingi corak agresif Korea Utara sejak permulaan babak pertama.

Kepincangan di bahagian tengah itu membuka ruang seluas-luasnya kepada Korea Utara mengasak kubu negara bertali arus sehingga empat gol mampu terhasil.

Manakala penyerang, Ahmad Hazwan Bakri gagal mendapat bantuan daripada barisan tengah yang membuatkan dia `mati kutu’ dalam usaha mencari jaringan pasukan negara.

Apa sahaja teori boleh diperkatakan peminat mengenai kekalahan ini tetapi bagi penulis, skuad negara kini seolah-olah dilanda sindrom kurang keyakinan tiap kali beraksi di pentas antarabangsa.

Perkara paling asas boleh diperhatikan tiap kali mendapat bola, mereka lambat lakukan hantaran kepada rakan sepasukan serta teragak-agak buat keputusan atau bahasa lebih mudah bermain secara statik.

 Ini satu perkara menghairankan kerana corak permainan mereka berbeza tiap kali mewakili pasukan masing-masing di Liga Malaysia yang mana lebih efektif serta berbeza apa yang ditampilkan di Buriram.

Berbaki satu hari persiapan, menjadi satu persoalan, apa lagi Vingada mampu lakukan, bukan sahaja memulihkan moral pemain tetapi apa lagi taktikal yang dia ada untuk diterapkan agar skuad negara tidak menjadi pasukan belasahan sekali lagi?

Selain kehadiran Safiq Rahim di bahagian tengah, apa lagi pilihan buat Vingada di posisi pertahanan agar kubu negara tidak lagi mudah dibolosi oleh barisan serangan Korea Utara?

Memang bukan mudah untuk berada di tempat Vingada buat masa ini memandangkan pilhan pemain kualiti yang terhad dan apa sahaja keputusan pada 13 November ini, satu post mortem yang mendalam perlu dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM).

Bukan sahaja nasib jurulatih perlu disentuh tetapi apa pendekatan paling sesuai kembali membentuk skuad bola sepak negara sebelum ranking FIFA terperosok dalam kalangan 200 pasukan terbaik dunia.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen