Apa guna menang kalau hutang keliling pinggang?

Oleh Shaiful Shamsudin 25 February 2019 3147
Apa guna menang kalau hutang keliling pinggang?
Napoli enggan terjebak dengan pasaran pemain yang semakin menggila biarpun terpaksa mengabaikan asas paling penting untuk berada sebaris dengan kelab gergasi, iaitu berbelanja besar. 

Pentas bola sepak pada era ini menyaksikan beberapa pasukan sanggup bergolok-bergadai dalam usaha menghadirkan kejayaan dan ia sebenarnya bukanlah senario baru dalam bola sepak. 

Cuma dalam kancah hari ini, sesebuah pasukan boleh menjadi sang gergasi jika menerima sokongan kewangan dan ia mampu mengubah wajah sesebuah kelab itu dalam sekelip mata. 

"Penyokong di stadium ini memang begitu, mereka gemar mensensasikan kekecewaan mereka. Kami akan berjuang sehingga ke saat akhir. 

"Memang sudah menjadi adat, kalau seseorang itu gagal melepasi rintangan pertama, maka hidupnya dilabel gagal. Tetapi kalau dia ingin mengubah hakikat itu, jadi dia kenalah berjuang sehingga saat akhir. 

"Bukan hanya soal siapa yang menamatkan saingan di tempat pertama bermaksud dialah juaranya. Kami semua akan mencapai kemenangan sekiranya kami beraksi berdasarkan kemampuan dan keghairahan. 

"Maksud saya, kalau saya perlu berhutang €200j (RM924.3j) dengan bank hanya kerana memancing seorang pemain, apakah maknanya kalau menang? Ayuh fikirkan resipi sebenar untuk berjaya di sini," demikian kenyataan lantang presiden kelab Serie A itu, Aurelio De Laurentiis.

Barangkali De Laurentiis menyindir peneraju liga, Juventus, yang sedang meniti landasan untuk mengukir kejayaan kelapan berturut-turut selepas berkelebihan 13 mata dengan seteru ketat itu.

Juve membelanjakan RM924.3j untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo selain perlu memenuhi tuntutan gajinya sebanyak €30j (RM138.6j) setahun.

Pandangan itu ada asasnya memandangkan bekas juara Itali pada zaman Diego Maradona itu pernah diisytiharkan bankrap pada 2004 akibat hutang berjumlah £46.1j (RM245.1j).

Begitupun, mereka membina semula empayar di Naples secara berperingkat dengan aksi dalam Serie C bagi mengukuhkan struktur bola sepak sebelum memandang perkara lebih jauh. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen